Harian Metro
Edisi Timur : Pemimpin baru ‘Kerajaan Langit’
Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad dan Isma Ismail
JERTIH: Selepas lebih setahun ketua ajaran sesat, Ariffin Mohamad atau Ayah Pin, 66, lesap, perkampungan ‘Kerajaan Langit’ yang dirobohkan pihak berkuasa di Batu 13, kini dipercayai mempunyai seorang pemimpin baru yang lebih muda.
Malah, pemimpin muda itu seorang bekas pegawai polis berusia 30-an berpangkat Cif Inspektor.
Sebagai pengikut setia ketua ajaran sesat terbabit, dia mengambil alih tugas ‘pelindung’ kepada penghuni di kampung itu selepas Ayah Pin menghilangkan diri apabila ‘Kerajaan Langit’ dilenyapkan, 31 Julai tahun lalu.
Difahamkan, bekas pegawai polis itu akan memastikan penghuni tidak diganggu orang luar yang datang.
Sumber memberitahu Harian Metro, penghuni juga diarah memadamkan lampu jika dengar atau nampak kenderaan memasuki laluan ke perkampungan itu pada waktu malam.
Ini bertujuan menyukarkan orang luar memasuki kawasan mereka.
“Saya difahamkan, bekas pegawai polis terbabit yang pernah bekerja di sebuah negeri di Utara, pernah ditahan selepas didapati menjadi pengikut ketua ajaran sesat terbabit.
“Kini, dia menjadi ketua baru di perkampungan itu, termasuk menjadi orang utama untuk berurusan dengan orang luar dan pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, pengalaman lelaki terbabit dalam bidang keselamatan dan celik undang-undang menyebabkan dia dihormati dan diangkat menjadi ketua ‘Kerajaan Langit’ yang baru.
Difahamkan, bekas pegawai polis itu sudah ditahan kerja tetapi kedudukannya masih samar disebabkan perlu melaporkan diri di balai polis tempat dia bekerja mengikut tempoh tertentu.
Sementara itu, tinjauan Harian Metro di perkampungan terbabit, mendapati lebih 10 rumah kayu berdiri kukuh dalam perkampungan itu.
Malah, kubur pengikut setia yang dikenali Ustaz Ya, juga masih teguh di sudut kanan pintu masuk ke perkampungan itu.
Agak mengejutkan apabila muncul seekor anjing hitam yang secara tiba-tiba berkeliaran dan menyalak apabila melihat wartawan cuba meninjau kawasan perkampungan itu.
Seorang penghuni yang enggan nama disiarkan mendakwa anjing itu bukan dibela penghuni tetapi datang dari hutan berhampiran.
Menurutnya, anjing itu tidak dihalau kerana tidak mengganggu penghuni di perkampungan itu.
Kini, walaupun semua replika gergasi era Ayah Pin sudah diranapkan, rumah penghuni dilabelkan dengan nama khas seperti Rumah Perak, Rumah Kelantan, Rumah Kuala Lumpur dan Rumah Terengganu dan Rumah Johor.
Ia bagi memudahkan tindakan mengasingkan penghuni mengikut negeri masing-masing.
Malah, pemimpin baru ‘Kerajaan Langit’ terbabit menginap di Rumah Kuala Lumpur bersama beberapa penghuni lain dari negeri sama.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan perkembangan terkini di perkampungan itu.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau bagi memastikan ajaran sesat di perkampungan terbabit tidak diwujudkan kembali.
__________________
[COLOR="Blue"][CENTER][url]www.rekagrafik.com[/url]
[url]www.pengantinku.com[/url]
YM me(ID BARU):- reka_grafik (id lama masih digunakan dan mungkin akan tidak digunakan sehingga diberitahu kelak).tq
:)cgrock Avatar tu sampel produk rekagrafik.com :)cgrock [/CENTER][/COLOR]