KISAH KETIGA
Masa terus berjalan dan kini Raja Muzaffar telah dewasa. Oleh kerana begitu
minatnya yang mendalam tentang ilmu-ilmu ketuhanan maka beliau meminta izin
daripada ayahandanya untuk menperdalamkan lagi ilmu pengetahuannya dengan
belajar dari guru-guru yang berada diluar istana sementelah Syeikh Abdullah
telah meninggal dunia. Ayahandanya memberi izin lalu tanpa berlengah Raja
Muzaffar menemui sahabat-sahabat sealiran almarhum Syeikh Gurunya untuk
melanjutkan pelajaran.
Raja Muzaffar mempunyai sikap yang pelik. Saban hari apabila beliau melalui
pekan-pekan kecil untuk sampai ke rumah guru-gurunya, beliau akan bertanya
kepada setiap orang yang ditemuinya dengan soalan yang pernah ditanya
kepada bondanya iaitu dimana ALLAH dan bolehkah manusia melihatNya?. Bagi
sesiapa yang menjawab soalannya itu sebagaimana yang pernah dijawab oleh
bondanya maka beliau akan membetulkan kefahaman orang itu dengan hujah
almarhum gurunya Syeikh Abdullah. Jika orang itu tidak mahu tunduk dengan
hujahnya maka orang itu akan dipukulnya sebelum diusir dari negerinya itu.
Begitulah sikap Raja Muzaffar setiap hari sehingga pada suatu hari beliau
bertemu dengan seorang tua yang sedang bertungkus-lumus menyediakan air
minuman untuk diberi minum kepada orang yang lalu-lalang disebuah pekan
tanpa mengambil sebarang upah. Melihat kelakuan pelik orang tua itu lantas
Raja Muzaffar mendekatinya.
“Hei orang tua.. mengapa kamu tidak mengambil upah atas usahamu itu?”
Tanya Raja Muzaffar tegas. Orang tua yang sedari tadi begitu khusyuk
mengagih-agihkan minumannya itu terkejut dengan pertanyaan Raja Muzaffar
lalu meminta Raja Muzaffar memperkenalkan dirinya.
“Siapakah tuan ini?” Tanya si Tua.
“Beta adalah Putera Raja negeri ini!” Jawab Raja Muzaffar tegas.
“Oh kalau begitu tuan ini tentu Raja Muzaffar yang terkenal dengan
ketinggian ilmu ketuhanan itu. Tapi sayang, tuan hanya tahu ilmu tentang
ALLAH tetapi tuan sendiri belum mengenal ALLAH. Jika tuan telah mengenal
ALLAH sudah pasti tuan tidak akan bertanya kepada saya soalan tuan tadi.”
Terkebil-kebil mata Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Hatinya
terpesona dengan ungkapan ‘mengenal ALLAH’ yang diucapkan orang tua itu.
Lantas beliau bertanya kepada orang tua itu.
“Kemudian apa bezanya antara ‘tahu’ dengan ‘kenal’?”
Dengan tenang si Tua itu menjawab..
“Ibarat seseorang yang datang kepada tuan lantas menceritakan kepada tuan
tentang ciri-ciri buah nangka tanpa menunjukkan zat buah nangka, maka ini
mertabat ‘tahu’ kerana ianya hanya sekadar maklumat dan orang yang berada
pada mertabat ini mungkin akan menyangka bahawa buah cempedak itu adalah
nangka kerana ciri-cirinya seakan sama. Berbanding seseorang yang datang
kepada tuan lantas menghulurkan sebiji buah nangka, maka ini mertabat
‘kenal’ kerana zatnya terus dapat ditangkap dengan penglihatan mata dan
orang yang berada pada mertabat ini pasti dapat mengenal mana cempedak dan
mana nangka dengan tepat.”
Raja Muzaffar mendengar dengan teliti huraian si Tua itu. Diam-diam,
hatinya membenarkan apa yang diperkatakan si Tua itu. Kemudian terlintas
dihatinya untuk bertanyakan soalan yang lazim ditanyanya kepada orang
ramai.
“Kalau begitu wahai orang tua silalah jawab persoalan beta ini.. Dimana
ALLAH dan bolehkah manusia melihatNya?”
“ALLAH berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh melihatNya.” Jawab si
Tua dengan tenang.
Tercengang Raja Muzaffar mendengar jawapan orang tua itu. Seketika kemudian
terus saja orang tua itu dipukulnya sehingga jatuh tersungkur. Melihat
orang tua itu tidak cuba mengelak pukulannya bahkan langsung tidak
menunjukkan reaksi takut maka Raja Muzaffar pun lantas bertanya..
“Kenapa kamu tidak mengelak pukulan beta wahai orang tua?”
“Bukankah tadi sudah saya bilang.. tuan ini hanya orang yang tahu tentang
ALLAH tetapi bukannya orang yang benar-benar mengenal ALLAH.”
Terdiam Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Kemudian beliau
menenangkan dirinya lantas bersegera duduk diatas tanah dihadapan orang tua
itu.
“Baiklah orang tua. Silalah huraikan jawapan kamu tadi sebab beta berpegang
bahawa ALLAH itu tidak bertempat dan manusia tidak boleh melihat ALLAH.”
“ALLAH itu tidak bertempat adalah menurut pandangan hukum akal sahaja
sedang pada hakikatnya tidak begitu.” Ujar orang tua itu sambil mengesat
bucu bibirnya yang berdarah. Kemudian beliau menyambung..
“Bukankah ALLAH itu wujudNya esa?”
“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.
“Jika ALLAH itu wujudNya esa maka sudah barang tentu tidak ada wujud
sesuatu bersertaNya.”
“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.
“Lantas bagaimanakah kedudukan wujud alam ini jika ALLAH itu diyakini wujud
tanpa ada selain zat yang wujud bersertaNya dengan pandangan mata hati?”
Raja Muzaffar memejamkan matanya rapat-rapat lantas dikerahkan pandangan
mata hatinya untuk memahami persoalan yang ditanyai orang tua itu.
Tiba-tiba akalnya dapat menangkap dan memahami hakikat alam ini jika ianya
merujuk kepada ruang lingkup keesaan wujud ALLAH. Lantas beliau membuat
satu kesimpulan..
“Jika dipandang dari sudut esanya wujud ALLAH maka alam ini tidak lain
melainkan diriNya sendiri… Tiba-tiba sahaja perkataan itu terpacul keluar
dari bibirnya. Terkebil-kebil matanya apabila mendengar ucapannya sendiri.
Maka lidahnya kelu dan akalnya lumpuh. Terkejut. Tergamam. Terbungkam.
“Jadi kalau begitu ketika tuan memandang alam ini, siapa yang tuan pandang
pada hakikatnya?” Pantas soalan itu diajukan kepada Raja Muzaffar.
“Pada hakikatnya beta memandang ALLAH!”
“Nah kalau begitu bukankah ALLAH ada berfirman yang bermaksud “Dimana
sahaja kamu menghadap, disitulah wajah ALLAH” dari surah al Baqarah ayat
115 dan dalam surah al Hadiid ayat 3 yang bermaksud “Dialah yang awal, yang
akhir, yang zahir dan yang batin.”
Kemudian orang tua itu bertanya lagi..
“Dan sekarang dapat atau tidak tuan melihat ALLAH ketika ini”
“Ya.. beta menyaksikan dengan ainul basyiroh.”
Perlahan-lahan berjujuran air mata dari bucu mata Raja Muzaffar. Beliau
menahan sebak kerana sekarang beliau sudah faham kenapa orang tua itu tidak
mengambil upah atas usahanya dan tidak mengelak ketika dipukul. Semuanya
kerana yang dipandangnya adalah pentajallian ALLAH. Dalam hati
perlahan-lahan beliau berkata.. “Memang benar sesungguhnya pada sudut ini,
ALLAH berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh melihat ALLAH.”
“Makanya wahai Putera Raja.. inilah yang dinamai sebagai ilmu hakikat.”
Semenjak hari itu, Raja Muzaffar terus mendampingi orang tua itu untuk
mempelajari lebih dalam selok-belok ilmu hakikat hingga diangkat beliau
oleh gurunya menduduki kedudukan Syeikh ilmu hakikat. Demi mempraktikkan
ilmu-ilmu hakikat yang halus, Raja Muzaffar telah menjadi seorang ahli
ibadah yang alim. Beliau tidak lagi berpegang dengan fahaman almarhum
gurunya iaitu Syeikh Abdullah kerana baginya jalan yang boleh membuatkan
seseorang itu dapat mengenal ALLAH dengan haqqul yaqin ialah dengan ilmu
hakikat. Beliau telah mengenepikan duduk didalam peraturan hukum akal sama
sekali dan mulai duduk didalam peraturan musyahadah. Bagi beliau, ilmu
Kalam yang dituntutnya selama ini adalah semata-mata salah.
Setelah kemangkatan ayahandanya maka Raja Muzaffar ditabalkan menjadi
sultan dinegerinya dan sekarang beliau menyandang gelaran Sultan Muzaffar
Syah pada usia 50 tahun. Beliau memerintah negerinya dengan adil dan
saksama namun sikap peliknya yang dahulu masih diteruskannya. Dimana sahaja
beliau pergi beliau tetap akan bertanyakan soalannya yang lazim itu. Jika
orang yang ditanya tidak dapat menjawab maka akan diajarkan jawabannya
menurut ilmu hakikat dan jika orang itu membangkang akan dihukum bunuh.
Akhirnya kelaziman Sultan Muzaffar Syah ini membuatkan seluruh rakyat
jelatanya menganut fahaman hakikat. Justeru itu rakyat jelata dinegerinya
hidup aman dan makmur.