pihak perempuan melampau letak hantaran terlalu tinggi
SAYA ada masalah dengan teman wanita saya. Hubungan kami sudah menjangkau setahun dan berhasrat untuk mengahwininya. Masalahnya, sikap dia dan emak dia membuat saya rasa tertekan.
Buat pengetahuan Dang Setia, kekasih saya itu sedang belajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu kota dan pengajiannya akan berakhir tahun depan. Dia berasal dari pantai timur dan cuma orang kampung.
Masalahnya, apabila saya menyuarakan hasrat untuk berkahwin dengannya, teman wanita saya menyuruh saya menyediakan wang sebanyak RM20,000. Terkejut saya tapi demi menjaga hatinya, saya mengiakan saja.
Saya tanya dia kenapa perlu sampai RM20,000. Dia beritahu, apabila majlis perkahwinan nanti, dia perlu banyak duit untuk mengadakan majlis kenduri. Wang hantaran pula perlu tunai RM8,000, tak boleh kurang. Adakah perkara ini perkara biasa dan pernah dibuat orang?
Teman wanita saya juga menyatakan emak dia nak saya berduit dulu, selepas itu baru boleh kahwin. Kata-katanya itu membuatkan saya tertekan? Adakah saya perlu mencari calon hidup lain? Saya benar-benar serba salah.
Dia cinta pertama saya. Bagi dia pula, saya rasa saya adalah kekasihnya yang keempat. Ada kalanya dia membandingkan saya dengan bekas kekasihnya.
Sepanjang bercinta dengannya, saya memberinya telefon bimbit, sara hidup semasa dia belajar, beli keperluan bulanan dan macam-macam lagi. Saya juga ada komitmen pada keluarga saya sendiri tapi dia seperti tak mahu faham dan selalu marah kalau saya tak bagi apa yang dia mahu. Apa perlu saya buat?
MR M
Masalah yang membelenggu saudara berlaku apabila perkara yang mudah sengaja disusahkan. Harus disedari, perkahwinan adalah urusan berkaitan agama. Ia bukan soal adat resam atau memenuhi `keperluan' semasa.
Dalam Islam, sudah terang dan jelas tatacara atau apa yang perlu dilakukan untuk melaksanakan urusan pernikahan. Jadi, syarat dan peraturan yang ditetapkan Islam itulah yang wajib dipatuhi serta diberi keutamaan, dan bukannya hal-hal lain.
Terus-terang, Dang Setia bukan pakar agama, namun apabila mengaitkan permasalahan saudara dengan ketetapan Islam, rasanya bukan sukar untuk memahami bahawa dalam Islam, dalam melaksanakan urusan pernikahan tanggung jawab bakal suami hanyalah menyediakan mas kahwin.
Menyediakan kos untuk menjalankan kenduri kendara bukan tanggungjawab bakal suami, sebaliknya ia tanggungjawab pihak keluarga isteri jika dia ingin mengadakan majlis perkahwinan itu. Bukan saja tidak adil, malah keluarga kekasih saudara sebenarnya tidak berhak meminta wang daripada saudara untuk mereka membuat kenduri.
Kalau pihak keluarga saudara pula ingin mengadakan kenduri, keluarga saudaralah yang perlu menampung kos kenduri itu dan saudara tidak berhak meminta wang daripada pihak bakal pengantin perempuan untuk membiayainya.
Kalau kita tidak mampu untuk mengadakan kenduri besar-besaran dan memanggil sehingga ribuan tetamu, buatlah secara sederhana setakat yang kita mampu. Tak perlulah nak menjadi hipokrit dan bermegah-megah mengadakan majlis kenduri besar-besaran tapi selepas itu hidup menanggung hutang keliling pinggang.
Hakikatnya, Islam itu mudah tapi kita sendiri yang menyusahkannya. Sebab itulah di awal tadi Dang Setia menyatakan masalah saudara berlaku kerana kita sendiri menyusahkan perkara yang sebenarnya mudah.
Begitu juga dalam soal wang hantaran. Dalam Islam, soal hantaran tidak timbul sama sekali kerana yang penting adalah mas kahwin. Tapi tak salah hantaran itu diwujudkan sebagai tanda hadiah penghargaan seorang lelaki kepada bakal isterinya. Cuma, perlu dipastikan agar ia tidak menyusahkan.
Jika niat perkahwinan dilangsungkan ikhlas kerana Allah atau untuk memenuhi tuntutan agama, kedua-dua pihak, sama ada keluarga bakal pengantin lelaki atau perempuan perlu bertolak ansur dan tidak menyusahkan. Wang hantaran yang diletakkan perlulah berpada-pada, setaraf dengan kemampuan bakal pengantin lelaki.
Justeru, saudara perlu menegaskan perkara ini kepada teman wanita saudara dan ibu bapanya. Nyatakan dengan jelas kemampuan saudara dan keperluan mematuhi kehendak Islam. Apa yang wajib dipatuhi, itu yang perlu didahulukan dan apa yang tidak wajib, ia boleh diabaikan.
Jika kekasih saudara dan ibu bapanya bersedia memperbetulkan salah faham mereka dan setuju bertolak ansur untuk tidak menyusahkan perkara yang senang, seharusnyalah saudara meneruskan hasrat untuk berkongsi hidup dengannya.
Bagaimanapun, jika mereka bertegas tidak mahu menukar pendirian mereka, Dang Setia berpendapat sebaik-baiknya saudara mohon untuk mengundur diri secara baik dan carilah wanita dengan ibu bapa yang lebih faham soal Islam untuk dijadikan isteri dan mentua.
Sebab itulah dalam Islam, kriteria utama yang ditekankan untuk mencari pasangan hidup ialah kefahaman dan amalan agama, bukannya paras rupa dan harta. Ini penting supaya tidak berlaku masalah meletakkan pelbagai syarat yang tidak wujud dalam Islam dan si isteri meminta keperluan yang melebihi kemampuan suami.
cinta pertama yg akan membentuk seseorng ape akan jadi seterusnya ...
da tau pompuan mcm tu...x ya rungsing2 ... tu baru nak kawen ... lepas kawen x nak pikir ke
gilo ko nak letak 20k utk pihak pompoan jo, tapi kalo kira2 balik semuanya akan habis dalam 23-25k jugak bagi yang sederhana org kg pun. tak cayo,cuba tanya kwn2 yg dah kawin,majoritinya berapa habis? tak ke lebih 20k?
gilo ko nak letak 20k utk pihak pompoan jo, tapi kalo kira2 balik semuanya akan habis dalam 23-25k jugak bagi yang sederhana org kg pun. tak cayo,cuba tanya kwn2 yg dah kawin,majoritinya berapa habis? tak ke lebih 20k?
20k tu tinggi da tu mungkin nak buat grand sikit dari biasa la tu kot so dalam hal ni ... pihak laki kene tanggung kos 100% kenduri pihak pompuan la tu .... so adakah berbaloi?
Disclaimer : All posts made by either members or mods even admins on CariGold.com are just only individual opinions, not necessarily or specifically those of CariGold.com or it's owner.
CariGold does neither support, endorse nor vouch any programs and/or opportunities discussed here. We also does not give/offer investment advice and we does not research the opportunities discussed here. We simply provide a place for discussion. YOU'RE ON YOUR OWN RESPONSIBILITY IF YOU LOSE SUM OF MONEY IN ANY PROGRAMS DISCUSSED HERE