BTC USD 60,784.8 Gold USD 2,360.48
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Kurang kurangkan membaca hadis, banyak banyakkan baca Quran

Status
Not open for further replies.
Hujah Keempat:

Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah dilarang keras oleh Allah Subhanahu waTa’ala dari mengata atau mengajar sesuatu selain dari al-Qur’an sahaja. Firman Allah:

Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu dari Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia. Dan bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu beriman. Dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu katakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan. (Al-Quran itu) diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.

Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan – Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami – Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta); Maka tidak ada seorangpun di antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya. [al-Haqqah 69:40-47]

Jawapan:

Ayat di atas khusus membicarakan tentang sifat keaslian kitab al-Qur’anul Karim. Asal ayat adalah bagi menjawab tuduhan orang-orang kafir di zaman Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang enggan menerima dan beriman kepada kitab al-Qur’an. Mereka berkata al-Qur’an itu adalah hasil sebutan dan tulisan seorang penyair dan pawang, yakni Muhammad bin Abdullah sendiri. Ia bukan wahyu Allah. Lalu ayat ini diturunkan bagi menolak dakwaan mereka dengan menyatakan bahawa al-Qur’an yang disebut dan diajar oleh Muhamad bin Abdullah itu sebenarnya adalah wahyu Allah dan Muhammad itu bukanlah seorang penyair atau pawang tetapi adalah seorang Rasul Allah yang mulia.

Ayat ini juga seterusnya menyatakan bahawa seandainya Muhammad itu menyebut atau mengajar sesuatu urusan agama yang tidak berasal dari sumber wahyu, nescaya nyawanya akan diragut serta merta. Ancaman terakhir ini tidak lain adalah bagi membuktikan bahawa risalah agama yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah benar-benar tulen dari Allah Azza waJalla dan ia bukan rekaan atau dustaan beliau semata-mata. Justeru keseluruhan ayat ini memberi jaminan kepada kita semua bahawa kesemua yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam urusan agama dan syari’at ini adalah dari sumber wahyu Illahi belaka.

Namun Golongan Anti Hadis telah menyempitkan tujuan ayat tersebut kepada pengertian bahawa kononnya Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tidak dibenarkan untuk menyebut atau mengajar apa jua urusan agama melainkan apa yang tertera di dalam al-Qur’an sahaja. Perlu diingatkan bahawa ancaman Allah Azza waJalla dalam ayat: Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan……adalah umum meliputi seluruh ajaran deen dan syari’at Islam yang disampai, diucap dan diajarkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, yakni ajaran al-Qur’an dan sunnah-sunnah beliau. Ayat di atas tidak menyebut …… Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata selain al-Qur’an … ……

Oleh itu ancaman ayat di atas tidaklah terhad kepada al-Qur’an sahaja tetapi meliputi semua yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam urusan agama.
 
Sponsored Post

Hujah Kelima:

Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam sendiri pernah mengadu kepada Allah Subhanahu waTa’ala bahawa umat Islam telah membelakangkan al-Qur’an dan hanya merujuk dan mengutamakan hadis sahaja. Aduan diungkap sendiri oleh al-Qur’an:

Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”. [al-Furqan 25:30]

Jawapan:

Dakwaan ini mudah dijawab apabila kita perhatikan benar-benar kepada siapakah pengaduan Rasulullah tersebut ditujukan. Perhatikan bahawa istilah yang digunakan dalam surah al-Furqan di atas adalah “kaumku” dan bukannya “umatku”. Perkataan kaum lazimnya merujuk kepada satu bangsa, suku atau kabilah manakala perkataan umat lazimnya merujuk kepada satu kumpulan manusia yang mengikuti satu jalan atau pimpinan. Seruan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam terhadap kaumnya dalam ayat di atas adalah mirip kepada seruan beberapa Rasul dan Nabi sebelum baginda terhadap kaum mereka masing-masing sepertimana yang telah diungkap oleh al-Qur’an:

Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu.” [al-Baqarah 2:54]

Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman).” [Nuh 71:05]

Dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah !” [Hud 11:50]

Nukilan 3 ayat di atas jelas menunjukkan bahawa para Nabi dan Rasul menggunakan panggilan kaumku apabila merujuk kepada kaum atau masyarakat yang mereka hidup bersama. Akan tetapi istilah kaumku akan berubah kepada umatku atau umat sahaja apabila yang dirujuk adalah sekumpulan manusia yang mengikuti jalan atau pimpinan seseorang Rasul tanpa mengira sama ada sekumpulan manusia tersebut hidup sezaman dengan Rasul tersebut atau sesudahnya. Perhatikan ayat-ayat berikut:

Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya). [Yunus 10:47]

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut.” [an-Nahl 16:36]

Dan bagi setiap umat yang memiliki Rasul tersendiri, diturunkan juga syari’at tersendiri:

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan. [al-Hajj 22:67]

Kita juga dikenali sebagai satu umat, yakni umat yang diutuskan seorang Rasul bernama Muhammad bin Abdullah sallallahu-alaihi-wasallam:

Demikianlah, Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) kepada satu umat yang telah lalu sebelumnya beberapa umat yang lain. [ar-Ra’d 13:30]

Dan akhirnya setiap umat ini akan dipertanggung-jawabkan di Hari Kiamat nanti:

Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan !” [al-Jaathiyah 45:28]

Perbandingan antara ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita perbezaan antara istilah kaum dan umat. Diulangi bahawa perkataan kaum lazimnya merujuk kepada satu bangsa, suku atau kabilah manakala perkataan umat lazimnya merujuk kepada satu kumpulan manusia yang mengikuti satu jalan atau pimpinan. Perkataan umat boleh mewakili kaum tetapi perkataan kaum tidak boleh mewakili umat. Perbezaan guna antara istilah kaum dan umat akan dapat dilihat dengan lebih jelas dalam ayat berikut:

Telah mendustakan sebelum mereka kaum Nabi Nuh dan golongan-golongan sesudah mereka. Dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan rancangan jahat terhadap Rasul mereka untuk menawannya (dan membinasakannya); dan mereka pula telah membantah dengan perkara yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan perkara yang salah itu; sebab itu Aku binasakan mereka. Maka (lihatlah) bagaimana kesan azabKu ! [al-Mu’minun 40:05]

Perhatikan bahawa apabila merujuk kepada golongan yang didakwah oleh Nabi Nuh alaihi-salam, al-Qur’an menggunakan istilah kaum manakala apabila merujuk kepada sesuatu golongan secara umum, yang keseluruhannya diutuskan seorang Rasul kepada mereka, al-Qur’an menggunakan istilah umat.

Perbezaan guna antara istilah kaum dan umat juga dapat kita lihat dalam hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Pernah sekali Rasulullah disajikan dengan hidangan daging dhab akan tetapi baginda tidak memakannya, lalu sahabat bertanya – apakah dhab itu haram untuk dimakan ? Baginda menjawab:

“Tidak. Tetapi ia tidak terdapat di bumi kaumku lalu aku merasa jijik.” [1] Perhatikan bahawa baginda Nabi mengaitkan keasingan daging dhab dengan masyarakat atau tempat asalnya, dengan menggunakan istilah kaumku. Demikian juga apabila Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam merujuk kepada kaum kafir Quraish yang telah menghalaunya dari kota asal kelahirannya, yakni Kota Makkah al-Mukarramah, Rasulullah merujuk kepada mereka sebagai kaumku, sebagaimana dalam hadis berikut ini:

Dari Ibnu Abbas (radiallahu-anhu), beliau berkata, telah bersabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tentang Kota Mekah: “Alangkah baiknya kamu sebagai satu negeri dan alangkah kamu aku cintai, seandainya kaumku tidak mengusirku dari kamu, nescaya aku tidak tinggal di tempat selain kamu.” [2]

Akan tetapi apabila Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam merujuk kepada urusan orang-orang Islam seluruhnya hingga akhir zaman, beliau akan menyebut umatku sebagaimana terukir dalam dua hadis berikut:

Sesungguhnya Allah memberi keampunan dan tidak mengambil kira segala pembicaraan hati umatku selagi mereka tidak memperkatakannya atau melakukannya.[3]

Perumpamaan umatku adalah seperti hujan, tidak diketahui apakah awalnya yang baik atau akhirnya. [4]

Justeru pengaduan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam terhadap “kaumku” dalam ayat di atas sebenarnya merujuk kepada bangsa atau sukunya sendiri di saat itu, yakni bangsa Quraish.[5] Ayat ini tidak ditujukan kepada kita umat Islam kerana kita tetap merujuk kepada al-Qur’an di samping rujukan kepada al-Hadis.

Perlu ditambah bahawa sekalipun ayat ini merujuk kepada kaum Quraish di zaman Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, pengajarannya tidaklah terlepas dari kita umat Islam sehingga ke akhir zaman. Tentu sahaja kita tidak ingin temasuk dalam kelompok yang dirujuk dan diadukan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tersebut. Justeru kita tetap perlu berusaha untuk mengimani, membaca, mendengar, mempelajari, mengkaji, mempraktik dan membumikan al-Qur’anul Karim.[6]
 
Hujah Keenam:



Dalam al-Qur’an tidak ada satu ayat sekalipun yang menyebut Sunnah Nabi atau Hadis Nabi. Malah jika dikaji dan diperbanding antara ayat-ayat al-Qur’an, akan di dapati bahawa perkataan Sunnah dan Hadis memiliki definasi dan erti yang berlainan.

Jawapan:

Sebelum dijawab dakwaan di atas, marilah kita melihat sejenak definasi, maksud dan kaedah penggunaan istilah Hadis dan Sunnah.

Definasi, maksud dan penggunaan istilah Hadis.

Hadis ( الحديث ) secara harfiah bermaksud sesuatu yang baru dari segala bentuk.[1] Dari segi maksudnya, ia memiliki beberapa erti, antaranya kata-kata, ucapan dan sebutan yang dikhabarkan, disampaikan dan diberitakan.[2] Di dalam al-Qur’an perkataan hadis digunakan beberapa kali dengan beberapa maksud dan tujuan yang berbeza sesuai dengan konteks perbicaraan ayat. Antaranya ialah: perkataan, pembicaraan, percakapan, pernyataan dan al-Qur’an itu sendiri. Berikut adalah dua contoh penggunaannya dalam al-Qur’an:

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan (hadis) iaitu Kitab (Al-Quran) yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan pelbagai cara). [az-Zumar 39:23]

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (hadis). [ad-Dhuha 93:11]

Terdapat juga penggunaan perkataan “hadis” di dalam hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, berikut adalah dua contoh:

Pertama: Abu Hurairah radiallahu-anhu pernah bertanya: Ya Rasulullah, Siapakah orang yang paling bertuah, yang akan menerima syafa’at kamu di Hari Kiamat nanti ? Rasulullah menjawab:

Demi sesungguhnya aku telah menyangka – wahai Abu Hurairah – bahawa tiada siapa yang akan bertanyakan aku mengenai hadis ini terlebih awal selain engkau, kerana aku memang melihat (mengetahui) minat engkau yang besar terhadap hadis. Seutama manusia yang akan mendapat syafa’at aku di Hari Kiamat nanti ialah orang yang menyebut “Tiada Tuhan melainkan Allah” dengan keihlasan yang mendalam di hati dan jiwanya. [3]

Kedua: Semoga Allah menyerikan wajah orang yang mendengar sebuah hadis dari aku lalu dihafalnya sehingga disampaikan kepada orang lain. [4]

Perlu juga ditambah bahawa penggunaan istilah hadis mengikut kaedah bahasa Arab ia tidaklah bererti kata-kata atau sebutan semata-mata, tetapi adalah kata-kata yang di dalamnya sedia terkandung nilai ilmu, pengajaran dan maklumat yang dikhabar, diberita dan disampaikan dari satu pihak ke pihak yang lain. Demikian juga sebaliknya, apabila hadis disandarkan kepada sesuatu yang bernilai negatif, sepertimana firman Allah:

Dan ada di antara manusia: (ada) orang yang membeli cerita-cerita dan perkara-perkara (hadis) yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan. [Luqman 31:06] – ia bererti kata-kata yang memiliki maklumat dan pengajaran yang memudaratkan seperti sindiran, cacian, gossip, fitnah dan sebagainya.

Para sahabat radiallahu-anhum merujuk kepada percakapan dan ucapan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam sebagai hadis Nabi kerana ia bererti segala kata-kata dan ucapan Rasulullah yang mengandungi ilmu, pengajaran, manfaat dan petunjuk di dalamnya. Sejak itu berkembang masyhurlah penggunaan istilah hadis Nabi di kalangan generasi tabiin, tabiin muda dan generasi-generasi seterusnya, sehingga apabila sahaja disebut hadis, pantas difahami bahawa yang dimaksudkan adalah hadis Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Perbuatan Rasulullah juga termasuk dalam istilah hadis Nabi apabila yang bertanya adalah generasi tabiin yang tidak pernah hidup bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan yang menjawab pula adalah para sahabat kerana mereka (para sahabat) telah menterjemah perbuatan Nabi tersebut menjadi kata-kata yang dikhabarkan kepada yang bertanya.



Definasi, maksud dan penggunaan istilah Sunnah.

Dalam kamus-kamus Arab, Sunnah bererti tatacara, jalan yang diikuti dan perilaku hidup sama ada baik mahupun buruk.[5] Tatacara, jalan yang diikuti dan perilaku hidup ini adalah langsungan, terbitan dan pancaran dari seseorang atau sesuatu yang berperanan sebagai titik punca.[6] Dalam al-Qur’an ianya digunakan 16 kali, umumnya merujuk kepada dua perkara, yang pertama adalah tatacara dan peraturan Allah Subhanahu waTa’ala dalam mengurus alam, yakni Sunnatullah dan yang kedua adalah tatacara umat-umat terdahulu, yakni Sunnatul awalin. Berikut adalah dua ayat, setiap satunya mewakili maksud yang diterangkan di atas:

(Demikianlah) peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-orang yang telah Kami utuskan sebelummu dari Rasul-rasul Kami; dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan bagi peraturan Kami yang tetap itu. [al-Israa’ 17:77]

Allah menghendaki untuk menerangkan (Syariat-Nya) dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan orang-orang yang soleh, supaya kamu mengikutinya), dan juga untuk menerima taubat kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. [an-Nisaa 4:26]

Perkataan Sunnah juga merujuk kepada tatacara hidup Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, mewakili percakapan, perbuatan dan persetujuannya. Perhatikan hadis berikut:

Sekumpulan 3 orang lelaki datang ke rumah isteri-isteri Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bertanyakan mengenai ibadat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Maka setelah diberitahu, mereka menganggap seakan-akan ianya sedikit lalu berkata: “Bagaimana kita boleh berbanding dengan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ? Demi sesungguhnya beliau telah diampuni oleh Allah dosa-dosanya yang terdahulu dan yang akan datang.”

Berkata salah seorang dari mereka: “Adapun saya, saya akan bersolat malam selama-lamanya.” Dan berkata seorang lagi: “Saya akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan berbuka.” Dan berkata yang terakhir: “Saya akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya.”

Maka (kemudian) datang Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam lalu beliau bersabda: “Kaliankah yang berkata sedemikian sedemikian ? Demi Allah, akulah yang paling takut kepada Allah dan yang paling bertaqwa kepada-Nya dari kalian. Tetapi aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan aku berkahwin dengan wanita-wanita. Maka barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku maka bukanlah dia dari golonganku.” [7]

Perkataan Sunnah juga boleh merujuk kepada tatacara atau perilaku seseorang lain, sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadis berikut:

Maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khalifah yang terpimpin lagi mendapat petunjuk.[8]

Perkataan Sunnah juga boleh mewakili perilaku mulia yang dimulakan oleh seseorang, umpamanya:

Barangsiapa merintis dalam Islam suatu jalan yang baik maka dia memperolehi pahala orang yang melakukannya sesudah dirinya tanpa dikurangi sedikit jua pahala mereka. Dan barangsiapa merintis dalam Islam suatu jalan yang buruk maka dia akan menerima dosa jalan buruk itu dan dosa orang yang mengerjakannya sesudah dirinya tanpa dikurangi sedikit jua dosa mereka. [9]

Dari contoh-contoh di atas jelas kepada kita tentang definasi, maksud dan penggunaan istilah Sunnah –bererti tatacara, jalan yang diikuti dan perilaku hidup sama ada baik mahupun buruk. Dengan itu juga fahamlah kita bahawa yang dimaksudkan sebagai Sunnah Nabi adalah segala percakapan, perbuatan, pengiktirafan, jalan yang dipimpin dan tatacara hidup Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

Seperkara penting tentang penggunaan istilah Sunnah menurut kaedah bahasa Arab adalah bahawa ia merupakan satu istilah yang tidak dapat berdiri dengan sendirinya melainkan ia wajib dirujuk atau disandarkan kepada seseorang individu, sesuatu perkara dan sesebuah identiti. Sepertimana yang dinyatakan di bahagian awal bab ini, tatacara, jalan yang diikuti dan perilaku hidup yang dimaksudkan dari istilah sunnah adalah langsungan, terbitan dan pancaran dari sesuatu atau seseorang yang berperanan sebagai titik punca. Hal ini jelas dari contoh-contoh yang telah dikemukakan di atas, seperti sunnah Allah, sunnah orang-orang terdahulu, sunnah Rasulullah dan sunnah para Khalifah. Justeru apabila sahaja istilah sunnah digunakan, ia wajib merujuk kepada seseorang atau sesuatu perkara.[10]

Kembali kepada dakwaan Golongan Anti Hadis bahawa di dalam al-Qur’an tidak ada satu ayat sekalipun yang menyebut dan menerangkan istilah Sunnah Nabi atau Hadis Nabi, ia tidaklah menjadi masalah kerana kitab al-Qur’anul Karim bukanlah sebuah kamus bahasa Arab. Malah yang benar-benar keliru di sini ialah Golongan Anti Hadis sendiri kerana mereka telah menjadikan kitab al-Qur’anul Karim sebagai satu-satunya kamus bahasa Arab yang mutlak. Mereka mencari erti sesuatu perkataan Arab dengan merujuk kepada beberapa terjemahan al-Qur’an yang sedia ada; dan mereka juga mencari kefahaman serta cara-guna sesuatu perkataan Arab dengan membanding-banding antara beberapa ayat al-Qur’an yang sedia memiliki perkataan tersebut. Apa-apa erti atau istilah yang tidak terdapat di dalam al-Qur’an, atau maksud pengertiannya adalah berlainan dengan penerangan al-Qur’an, maka perkataan atau pengertian tersebut dianggap batil dan ditolak. Tindakan ini adalah salah kerana:

[1] Al-Qur’an bukanlah kitab yang memperkenalkan bahasa Arab kepada masyarakat Arab 1400 tahun yang lalu. Ketika al-Qur’an mula diturunkan, masyarakat ketika itu sudah sedia mengetahui dan menguasai bahasa Arab. Jika benar al-Qur’an adalah satu-satunya kamus bahasa Arab, maka bagaimana mungkin masyarakat Arab ketika itu hendak memahami ayat-ayat al-Qur’an yang diturunkan ?

[2] Al-Qur’an diturunkan secara berperingkat-peringkat, menjangkau tempoh 22 tahun lebih. Seandainya kita menerima-pakai teori bahawa sesuatu perkataan atau istilah itu hanya tepat difahami dengan merujuk dan membanding antara ayat dengan ayat, adakah itu bererti bahawa masyarakat Arab ketika itu tidak dapat memahami langsung pengajaran al-Qur’an secara tepat kecuali setelah 22 tahun, yakni setelah al-Qur’an menjadi lengkap keseluruhan himpunan ayat-ayatnya ? Sudah tentu tidak !

Justeru tindakan menjadikan al-Qur’an sebagai satu-satunya kamus bahasa Arab dan penjelas pengertian istilah adalah tidak lain merupakan tindakan orang-orang yang tidak tahu bahasa Arab dan amat sempit wawasan pemikiran mereka. Yang benar adalah, al-Qur’an boleh digunakan sebagai salah satu sumber rujukan bagi mengetahui dan memahami pengertian dan maksud sesuatu perkataan Arab, terutamanya oleh kita masyarakat yang bahasa ibundanya bukan bahasa Arab. Tetapi kita tidak boleh memutlakkan al-Qur’an sebagai satu-satunya kamus dan penjelas bahasa Arab. Melakukan sedemikian bererti kita telah memaksa al-Qur’an kepada satu tanggung-jawab yang tidak ia dipertanggungkan pada asalnya.

Persoalan istilah Sunnah dan Hadis Nabi yang tidak disebut dalam al-Qur’an bukanlah satu persoalan yang membatalkan kedudukannya dari sisi syari’at Islam kerana dasar rujukan kepada dua sumber tersebut tidak terletak pada nama atau istilah, tetapi kepada konsep dan pengertian yang didirikan oleh al-Qur’an itu sendiri.[11] Sebagaimana kita di Malaysia dalam bahasa Melayu mengatakan bahawa sembahyang itu adalah wajib padahal perkataan “sembahyang” sememangnya tidak terdapat di dalam al-Qur’an tetapi konsep dan perintah mendirikan “sembahyang” tersebut memang sedia terdapat di dalam al-Qur’an. Perbezaan nama atau istilah tidaklah membatalkan sesuatu konsep, pengertian, perintah dan pekerjaan yang jelas diasaskan oleh al-Qur’an.
 
Tok guru aku adalah Allah.
Buku aku refer hanya 1 - Quran.:">

bro kalo refer Al-Quran aje bermakna adakah bro iktikad bahawa LEMAK BA.BI halal utk bro makan? sbb dlm Al-Quran tak sebut pasal lemak, jantung, hati, pankreas, usus BA.BI itu haram.

Camner bro? boleh bawa ayat utk bidas point saya yg jahil ini?
 
Dalam suasana kelengkapan dan keterperincian inilah al-Qur’an meletakkan dasar serta prinsip yang jitu bahawa hadis serta sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam wajib dijadikan salah satu dari sumber syari’at yang ditaati, dirujuki dan dipegangi. Apabila hadis dan sunnah Rasulullah disisihkan, maka ia bererti menyisih sebahagian dari dasar dan prinsip penting yang digariskan oleh al-Qur’an; dan apabila hadis dan sunnah Rasulullah ditentang, ia bererti menentang sebahagian dari ajaran al-Qur’an itu sendiri.[2]

Ayat ni sapa2 pun boleh tulis. Cuba quote ayat Quran yg suruh ikut hadith. Saya dah bagi ayat Allah yg tanya manusia, kenapa nak ikut hadis mana lagi, selain Quran?
(Al Jathiya ayat 6). Yg ada, hanyalah suruh ikut Quran dan Rasul (iaitu Sunnah). Dan hadith tidak semestinya 100% sunnah. Saya bukan anti hadith yg betul2 ajaran Rasul. Tapi siapakah di dunia ini yg berani bersumpah dgn nama Allah yg hadith2 yg ada skrg adalah Sunnah nabi?? Saya cuma sarankan, kurang2kan baca hadith, tetapi lebihkan masa membaca dan memahami Quran.

Adalah merupakan tindakan yang amat jahil apabila seseorang itu memahami ayat-ayat di atas secara zahir (face value) sehingga mereka berkata segala apa yang berkaitan dengan agama dan kehidupan di dunia ini telah diperincikan satu-persatu di dalam al-Qur’an. Jika inilah kefahaman mereka, maka penulis bertanya – jika pagi tadi kita bersarapan Mee Goreng dan ingin mengetahui hukumnya, bolehkah kita mencarinya di dalam al-Qur’an ? Pastinya kita tidak akan menemui keterangan tentang Mee Goreng. Maka apakah dengan itu Mee Goreng tersebut menjadi sesuatu yang halal, atau haram, atau sesuatu yang dilupai oleh al-Qur’an ?

Sebaliknya jika difahami ayat-ayat di atas sebagai yang menerangkan peranan al-Qur’an dalam meletakkan dasar serta prinsip syari’at dan kehidupan, pasti kita akan ketahui bahawa Mee Goreng tersebut adalah halal dan baik untuk dimakan, kerana al-Qur’an sedia menggariskan beberapa prinsip asas pemakanan, antaranya semua yang ada di mukabumi ini adalah halal untuk dimakan (Yunus 10:59) asalkan disembelih atas nama Allah (al-An’aam 6:121) atau dari sembelihan Ahli Kitab (al-Maidah 5:05) dan ia bukan bangkai atau daging khinzir (al-Maidah 5:03); dan bahawa umat Islam sangat dianjur makan (al-An’aam 6:142) asalkan mereka tidak berlebih-lebihan (al-A’raaf 7:31).[3] Inilah maksud dan cara sebenar mengguna-pakai ayat-ayat di atas yang menjadi asas perbincangan.

Mee goreng? Yang haram telah terang dalam Quran iaitu Arak, Khinzir, Berjudi, dsb. Semua ada dalam Quran. Maka yg lain selain itu yg tidak ditegah dalam Quran maka adalah Halal. Islam itu simple.
 
bro kalo refer Al-Quran aje bermakna adakah bro iktikad bahawa LEMAK BA.BI halal utk bro makan? sbb dlm Al-Quran tak sebut pasal lemak, jantung, hati, pankreas, usus BA.BI itu haram.

Camner bro? boleh bawa ayat utk bidas point saya yg jahil ini?

Apakah yg menjadikan ba.bi itu ba.bi? Maka semua yg menjadikan ba.bi itu sebagai ba.bi itulah yang haram. :">
 
aku nak tanya TT satu je..ada tak dalam al-quran terangkan secara details syarat sah sembahyang(rukun sembahayang) dari A - Z? sila jawab soalan ni dulu dan bersertakan firman Allah ta'ala dalam al-Quran...

"Al-Quran ini ialah hidayah petunjuk yang cukup lengkap; dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya."

Surah Al Jathiya Ayat 11.

Quran itu lengkap. Tidak perlu support dari mana2 hadith dsb.
 
Ayat ni sapa2 pun boleh tulis. Cuba quote ayat Quran yg suruh ikut hadith. Saya dah bagi ayat Allah yg tanya manusia, kenapa nak ikut hadis mana lagi, selain Quran?
(Al Jathiya ayat 6). Yg ada, hanyalah suruh ikut Quran dan Rasul (iaitu Sunnah). Dan hadith tidak semestinya 100% sunnah. Saya bukan anti hadith yg betul2 ajaran Rasul. Tapi siapakah di dunia ini yg berani bersumpah dgn nama Allah yg hadith2 yg ada skrg adalah Sunnah nabi?? Saya cuma sarankan, kurang2kan baca hadith, tetapi lebihkan masa membaca dan memahami Quran.



Mee goreng? Yang haram telah terang dalam Quran iaitu Arak, Khinzir, Berjudi, dsb. Semua ada dalam Quran. Maka yg lain selain itu yg tidak ditegah dalam Quran maka adalah Halal. Islam itu simple.

Hujah Kesembilan:



Allah Azza waJalla telah beberapa kali memerintahkan umat Islam untuk mengadili sesuatu perkara berdasarkan hukum al-Qur’an sahaja. Barangsiapa yang tidak berhukum dengan al-Qur’an maka mereka adalah fasik, zalim dan kafir. Perhatikan ayat-ayat berikut:[1]

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan Kitab Allah maka mereka itulah orang-orang kafir. [al-Maidah 5:44]

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan Kitab Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim. [al-Maidah 5:45]

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan Kitab Allah maka mereka itulah orang-orang yang fasik. [al-Maidah 5:47]

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan Kitab Allah. [al-Maidah 5:49]

Sekalipun telah jelas ayat-ayat di atas, masih ada umat Islam yang berhukum dengan hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Perlu dibezakan bahawa hadis-hadis Rasulullah adalah bukan Kitab Allah.

Jawapan.

Sebelum kita menjawab hujah di atas, rasanya adalah sangat perlu disalin keseluruhan ayat-ayat al-Qur’an yang dimaksudkan, dari ayat 44 hinggalah ke ayat 49.

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir. [al-Maidah 5:44]

Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. [al-Maidah 5:45]

Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik. [al-Maidah 5:47]

Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. [al-Maidah 5:48]

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. [al-Maidah 5:49]

Sekarang perbandingkan rangkap ayat al-Qur’an yang diterjemahkan sebagai hujah oleh Rashad Khalifa dan terjemahannya yang sebenar. Perhatikan bagaimana beliau menukar ayat (bima anzalAllah) yang bermaksud dengan apa yang diturunkan oleh Allah sebagai Kitab Allah.

Terjemahan Rashad Khalifa: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan Kitab Allah maka mereka itulah orang-orang kafir. [al-Maidah 5:44]

Terjemahan sebenar: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang kafir. [al-Maidah 5:44]

Terjemahan Rashad Khalifa: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan Kitab Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim. [al-Maidah 5:45]

Terjemahan sebenar: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang zalim. [al-Maidah 5:45]

Terjemahan Rashad Khalifa: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan Kitab Allah maka mereka itulah orang-orang yang fasik. [al-Maidah 5:47]

Terjemahan sebenar: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang kafir. [al-Maidah 5:47]

Terjemahan Rashad Khalifa: Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan Kitab Allah. [al-Maidah 5:49]

Terjemahan sebenar: Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah [al-Maidah 5:49]

Jelas di sini kelihatan tindakan menukar maksud ayat-ayat Allah Subhanahu waTa’ala semata-mata kerana ingin menolak dari berhukum dengan hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Mungkin alasan Rashad Khalifa adalah memandangkan ayat-ayat 44 hingga 49 pada awalnya membicarakan tentang penurunan kitab Taurat dan Injil kepada umat Yahudi dan Nasrani dan perintah supaya mereka berhukum dengannya, maka hendaklah juga kita umat Islam berhukum dengan kitab yang diturunkan kepada kita, iaitu kitab al-Qur’anul Karim.

Alasan ini adalah tidak tepat kerana jika diperhatikan benar-benar ayat-ayat di atas, akan didapati Allah Azza waJalla tidak memerintahkan kita untuk berhukum dengan Kitab Allah tetapi yang diperintahkan adalah berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Perlu ditegaskan bahawa setiap patah dan huruf al-Qur’an disusun oleh Allah Azza waJalla sesuai dengan maksud yang dikehendaki-Nya, ia bukanlah suatu susunan yang rambang, secara suka-suka atau tidak sengaja. Oleh itu apabila Allah memerintahkan kita untuk berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka hendaklah kita berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Kita tidak boleh dengan mudah menafsirkannya sebagai kitab al-Qur’an sahaja kerana seandai itulah yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu waTa’ala, maka pasti itulah juga yang akan difirmankan oleh-Nya secara tepat.

Apakah yang diturunkan oleh Allah untuk kita berhukum dengannya ? Jawapannya adalah keseluruhan syari’at Islam yang diturunkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada manusia melalui Rasul-Nya Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam. Ia terdiri daripada kitab al-Qur’anul Karim dan al-Hikmah sebagaimana firman Allah Ta’ala:

Dan Allah telah menurunkan kepadamu (Muhammad) Kitab (Al-Quran) serta Hikmah. [an-Nisaa’ 4:113]

Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, al-Hikmah ialah segala sumber syari’at ilmu dan perincian agama yang tidak terkandung di dalam kitab al-Qur’anul Karim. Ia diajar, diterangkan dan diterjemahkan kepada perbuatan praktikal oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan inilah yang dikenali sebagai as-Sunnah. (lebih lanjut lihat tugas ke-7 dalam Jawapan bagi hujah ke-2)

Maka dengan itu perintah Allah Azza waJalla supaya kita umat Islam berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah sebenarnya bermaksud hendaklah kita berhukum berdasarkan apa yang terkandung dalam kitab al-Qur’anul Karim dan Sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Inilah tafsiran yang sebenar.[2]
 
Status
Not open for further replies.
Sponsored Post

Back
Top
Log in Register