TEKA-TEKI berhubung tarikh sebenar mesyuarat agung tahunan (AGM) Kesatuan Olahraga Malaysia akhirnya terjawab.
Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan bahawa badan induk sukan olahraga negara itu akan mengadakan AGM tahun ini pada 23 September depan.
Shahidan berkata, keputusan itu dibuat hasil persetujuan ahli majlis KOM yang bermesyuarat di Bukit Jalil kelmarin.
Lebih menarik, Shahidan secara terbuka turut mengesahkan bahawa beliau akan tetap mempertahankan jawatannya selaku pemimpin No. 1 KOM.
"Secara peribadi, saya akan tetap mempertahankan jawatan selaku presiden KOM. Tidak ada sebab untuk saya mengundurkan diri," kata Shahidan ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ditanya adakah beliau tidak serik dengan kontroversi-kontroversi yang terus menghantui KOM sepanjang kepimpinannya, Shahidan berkata: "Jika saya bukan presiden sekali pun, tidak semestinya masalah tidak akan berlaku dalam KOM.
"Malah, tidak semestinya orang baharu masuk nanti, mereka boleh selesaikan masalah yang menimpa KOM sebelum ini.
"Jadi, saya akan tetap mempertahankan jawatan selaku presiden KOM.
"Saya percaya, segala masalah yang berbangkit dalam KOM boleh diselesaikan secara berperingkat-peringkat," ujar Shahidan yang telah menerajui KOM sejak 2006 lagi.
Pelbagai kontroversi dalaman yang membayangi KOM selama ini dilihat sebagai punca kemerosotan prestasi atlet-atlet negara di pentas antarabangsa.
Antara kontroversi hangat KOM sepanjang kepimpinan Shahidan ialah isu membabitkan enam atlet pecut melarikan diri daripada menjalani ujian antidoping pada Mei tahun lalu selain petisyen yang dibuat oleh jurulatih dan atlet olahraga negara meminta badan induk itu menyingkirkan timbalan presiden, Datuk Karim Ibrahim pada Februari lalu.
Tidak terkecuali, isu membabitkan atlet 4x400 meter negara, Mohd. Yunus Lasaleh yang didapati positif menggunakan bahan terlarang pada temasya Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia.
Sementara itu, Naib Presiden KOM, Datuk R. Annamalai menjelaskan bahawa notis serta borang pencalonan bagi bertanding pada AGM badan induk itu akan dikeluarkan selewat-lewatnya 21 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan.
"Namun, KOM pada bila-bila masa bermula dari sekarang boleh mengeluarkan notis dan borang pencalonan tanpa perlu menunggu sehingga 21 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan itu," kata Annamalai.
Menurut Annamalai, sebanyak tiga jawatan akan dipertandingkan pada AGM kali ini iaitu perebutan bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden.
"Seorang akan dipilih bagi jawatan presiden dan timbalan presiden, manakala lima orang bagi jawatan naib presiden. Calon yang menang akan pegang jawatan selama dua tahun."