KOTA BHARU - Di sebalik spekulasi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan dalam waktu terdekat, seorang penganalisis menggambarkan rakyat negara ini semakin berani meletakkan desakan dan tuntutan kepada kerajaan dan parti-parti politik.
Sehubungan itu, pemimpin hari ini pula sudah mula mendengar suara rakyat kerana mereka semakin takut dengan desakan dibangkitkan, kata Pengasas dan Pemangku Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar.
Menurut Mohamad, keadaan itu jauh berbeza berbanding situasi sebelum Mac 2008 dan ia sangat jelas sehingga Malaysia, yang mengamalkan demokrasi berparlimen, menyaksikan wujud Bersih 1.0, Bersih 2.0 dan baru-baru ini Bersih 3.0.
Selain tiga perhimpunan itu yang dikaitkan dengan tuntutan berkaitan sistem pilihan raya, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan juga parti-parti politik mengetengahkan tuntutan dan desakan masing-masing sepanjang empat tahun lalu.
Sebahagian tuntutan itu dipenuhi manakala ada yang masih dipertimbangkan oleh kerajaan. Ia termasuklah isu loji nadir bumi Lynas, pindaan dan pemansuhan undang-undang iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Perhimpunan Bersih 2.0 membawa kepada pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berkaitan dengan penambahbaikan sistem pilihan raya pada Ogos lalu.
Mohamad berkata demikian ketika menjadi ahli panel Wacana D’Raja bertajuk Bersatu Demi Islam sempena Karnival Walk With Me 2012 di Kelantan Trade Centre.
Beliau menambah, rakyat mula mengancam dan sentiasa ada sahaja perkara yang dilakukan untuk menakut-nakutkan pemimpin dengan melakukan demonstrasi supaya kehendak mereka diambil kira.
“Berbanding Pilihan Raya Umum ke-12 sebelum ini, saya mendapati pemimpin sekarang semakin takut dengan rakyat dan saya rasa itulah penyebab pilihan raya ditangguhkan, malah sehingga ke hari ini masih belum diputuskan lagi.
“Ini gambaran yang menakutkan pemimpin hari ini. Jika dahulu pemimpin itu menang, dia masih selesa, tetapi sekarang, walaupun menang ada lagi rakyat berusaha mahu mencungkil kisah lama mereka ,”katanya.
Beliau menegaskan bahawa dalam soal kebebasan hari ini, kuasa memilih terletak di tangan rakyat itu sendiri dan mereka berkuasa melakukan pendedahan sehingga menentukan jatuh bangunnya pemimpin hari ini.
“Pemimpin politik mula gerun dengan rakyat, berbanding dengan zaman politik sebelum ini perkara sebegini tidak pernah wujud.
“Apakah kita perlu balik semula kepada zaman kebebasan bersuara sebelum ini,” katanya.
Katanya lagi, akhir-akhir ini pelbagai perkara berlaku, mula dipersoalkan dan mungkin dikaitkan dengan tempoh pilihan raya umum nanti.
Disclaimer : All posts made by either members or mods even admins on CariGold.com are just only individual opinions, not necessarily or specifically those of CariGold.com or it's owner.
CariGold does neither support, endorse nor vouch any programs and/or opportunities discussed here. We also does not give/offer investment advice and we does not research the opportunities discussed here. We simply provide a place for discussion. YOU'RE ON YOUR OWN RESPONSIBILITY IF YOU LOSE SUM OF MONEY IN ANY PROGRAMS DISCUSSED HERE