CariGold Forum

CariGold Forum (http://www.carigold.com/portal/forums/index.php)
-   Movies, TV, Music (http://www.carigold.com/portal/forums/forumdisplay.php?f=153)
-   -   Info Muzik : Muzik program cetus idea tambahan (http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=190956)

seether 25-11-2010 08:35 AM

Gamelan mula bertapak di Istana Pahang
 
Tahukah anda, muzik Gamelan adalah himpunan alat muzik yang biasanya menonjolkan metalofon, gambang, gendang dan gong. Orkes gamelan kebanyakan terdapat di kepulauan Jawa, Madura, Bali dan Lombok di Indonesia dalam pelbagai jenis ukuran dan bentuk yang dipanggil ensembel. Di Bali dan Lombok hari ini, selain di Jawa pada lewat abad ke 18, istilah gong lebih dianggap sinonim dengan gamelan.

Perkataan gamelan berasal daipada perkataan Jawa iaitu gamel, bermaksud memukul ataupun tukul. Gamelan Pahang diperkenalkan ke Pahang ketika pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam Shah. Tengku Ampuan iaitu Wan Fatimah menaikkan muzik gamelan dan diikuti isteri kedua sultan, iaitu Che Bedah. Puteri mereka iaitu Tengku Ampuan Mariam berkahwin dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pada 1913, dan telah membawa gamelan ke Terengganu.

Pada 1914, apabila Sultan Ahmad mangkat, isterinya Cik Zubedah berangkat ke Terengganu untuk tinggal bersama puterinya, Tengku Ampuan Mariam amat meminati gamelan. Pada 1915, set peralatan gamelan di bawah jagaannya di Pahang dibawa ke Istana Maziah Terengganu dan melatih pemuda-pemudi Terengganu untuk bermain dan menari dengan iringan gamelan.

Pada 1920, selepas Sultan Sulaiman dimahkotakan, usaha dipergiatkan dengan membawa bekas penari Pahang, Yang Khoja dan Cik Meriam melatih penari Terengganu dan dinaungi Tengku Ampuan Mariam sendiri. Demikian pula, Wan Mohd dan Wan Ahmad dan Ahin, bekas pemain muzik Pahang bersama melatih kumpulan Terengganu yang dikelolakan Sultan Sulaiman.

Sehingga 1936, Sultan dan permaisuri berjaya memiliki set sendiri. Pelbagai lagu dan tarian dicipta termasuk lambang sari, geliung, ketam renjong, togok, gagak seteru, lancang kuning dan sebagainya. Tengku Ampuan Mariam menulis manuskrip mengenai tarian sementara Sultan Sulaiman bertanggungjawab menukarkan nama Joget Pahang kepada Joget Gamelan Terengganu.

Bagaimanapun gamelan Terengganu mengalami kejatuhan pada zaman penakulan Jepun sekitar 1941 dan kemangkatan Sultan Sulaiman pada 1942. Tengku Mariam berpindah ke Istana Kolam dengan membawa set gamelan bersama dua bekas penarinya, Cik Adnan Abdul. Set gamelan dikembalikan ke Pahang pada 1973 setelah berlakunya tawar-menawar yang tidak menyenangkan antara kerajaan Pahang dan Terengganu. Set Gamelan itu dianugerahkan kepada Muzium Pahang di Pekan dan kini dipamerkan.

Muzik gamelan biasanya dimainkan pada majlis rasmi atau kasual di istana terutama mengiringi joget Pahang. Pemuzik gamelan membabitkan sembilan lelaki dan enam penari wanita. Alatan muzik yang digunakan ialah gong agong, gong sawokan, gendang ibu, gendang anak, saron pekin, saron baron I dan saron baron II, gambang serta kenong.

Tuning dan pembuatan orkes gamelan adalah suatu proses rumit. Gamelan menggunakan empat sistem tuning - slêndro, pêlong, degung (khusus daerah Sunda, atau Jawa Barat) dan madenda (juga dikenali sebagai diatonis), sama seperti skala minor asli yang banyak dipakai di Eropah.

Jenis gamelan antaranya Gamelan Jawa, Gamelan Bali. Gamelan Sunda, Gamelan Banyuwangi, Gambang Kromong dan Gamelan Amerika (American Gamelan).

http://www.carmahlms.com/Info_Muzik/...G03gmbdiip.jpg

seether 25-11-2010 08:38 AM

Kehebatan Ahmad Jaafar cipta lagu raya
 
Tahukah anda, lagu malar segar Selamat Hari Raya dendangan Biduanita Puan Sri Saloma, adalah karya emas ciptaan komposer Ahmad Jaafar. Lagu itu pernah menghiasi filem arahan Datuk L Krishnan berjudul 'Selamat Hari Raya' yang diterbitkan Shaw Brothers pada 1955. Filem itu dibintangi Datuk Maria Menado bersama Allahyarham Datuk S Roomai Noor.

Kekuatan lagu ini bukan kerana pada liriknya tetapi pada kombinasi melodi dan kemerduan vokal Saloma. Ia disifatkan sebagai keserasian paling jitu dalam lagu klasik raya kerana gaya dan lenggok muziknya menepati suara biduanita itu yang halus-halus bergema atau ala falsetto. Getar suaranya juga sesuai dengan liriknya yang mudah difahami, ringkas dan menggambarkan kemeriahan suasana lebaran.

Sekalipun lagu baru datang dan menghilang, lagu klasik Selamat Hari Raya nyanyian Saloma versi rakaman 1973, tetap menjadi pilihan peminat. Sejak awal lagi lagu itu memang dinyanyikan bersama Saloma, cuma versinya adalah berbeza dari segi susunan muzik dan lirik. Versi asal menyelitkan kemeriahan bermain mercun tetapi tidak lagi dalam versi 1973.

Ahmad Jaafar adalah komposer, penggubah dan pemuzik tersohor Singapura, Ahmad Jaafar dilahirkan pada 30 Ogos 1919 di Binjai, Sumatera Utara, Indonesia. Minatnya dalam muzik bermula seawal usia enam tahun apabila dia mula belajar bermain dram dan mula berjinak-jinak menjadi pemuzik di panggung wayang, selain menjadi pemuzik iringan untuk filem bisu.

Latihan formal dalam muzik hanya bermula menerusi permainan biola di bawah tunjuk ajar bapa saudaranya. Menerusi skil baru itu, dia mula menyertai kumpulan muzik pimpinan Sultan Langkat. Dari situ, pengetahuan mengenai muzik terus diasah oleh ketua kumpulan muzik Mohamed Darus Omar.

Pada 1938, dia menganggotai Dutch Symphony, White Society di Medan. Ketika itu, dia bermain klarinet. Selepas Perang Dunia Kedua, Ahmad membawa isterinya, Sutinah ke Singapura pada 1946. Di sana, dia mula bermain muzik di kelab malam, konsert, stesen radio dan untuk album rakaman.

Menerusi komposer Osman Ahmad, dia berpeluang bermain dengan Great World Cabaret. Di situlah tertubuhnya kombo muzik yang cukup terkenal iaitu kombo Rayuan Kencana yang sering muncul di Radio Malaya. Menerusi Orkes Radio Singapura, Ahmad dilantik sebagai pemimpin orkestra pada 1965 sehingga dia bersara pada 1981.

Dia turut dikenali atas sumbangannya memimpin orkestra di stesen Radio Television Singapore (RTS) selama 15 tahun sehingga bersara pada 1992. Antara lagu popular gubahan Ahmad ketika era kegemilangannya ialah Ibu, Selamat Hari Raya, Hujan Lebat dan Tiada Berita.

Biarpun ada yang mengatakan Ahmad hanya mencipta kira-kira 80 lagu, namun gubahan dan orkestrasi sentuhannya banyak termasuk gubahan ketika bersama orkestra simfoni yang dipersembahkan untuk program Radio Malaysia, Malam Irama Malaysia pada 1960-an.

ahmadfetri 25-11-2010 08:40 AM

adeh~ presentation je dah dua page.. apa kata bagi je link kat mana TT amek semua ni.. hehe

seether 25-11-2010 08:49 AM

Quote:

Originally Posted by ahmadfetri (Post 7912256)
adeh~ presentation je dah dua page.. apa kata bagi je link kat mana TT amek semua ni.. hehe

presentation? rase just for info..cabang muzik tu besar..better 1 thread je sini bukan 1 info 2 3 thread :) kalau ade pape pasal muzik info lu nak contribute ke share tepek2 je sini :)

seether 25-11-2010 08:56 AM

Pemuzik Heavy Metal Sering Terima Ancaman
 
Tahukah anda, muzik heavy metal (juga dikenali sebagai metal) ialah cabang genre muzik rock yang mula berkembang akhir 1960-an dan awal 1970-an. Berakar daripada irama blues-rock dan psychedelic rock, kumpulan muzik yang mencipta muzik heavy metal menghasilkan sound berpusat kepada bunyi gitar dan dram berat dan pekat, karakter sound itu juga dikuatkan distortion yang tinggi dan petikan gitar solo yang pantas.

Berdasarkan buku All Musiz Guide, dalam banyak-banyak bentuk rock & roll, heavy metal adalah yang paling ekstrim dari segi volume, sifat macho dan teaterical. Sejak awal terbentuknya heavy metal, ia sudah punya pengikut setia di seluruh dunia dikenali sebagai metalhead atau headbangers.

Walaupun kumpulan heavy metal di peringkat awal seperti Led Zeppelin, Black Sabbath dan Deep Purple menarik sejumlah penonton yang ramai, mereka sering dikritik dan dicerca ketika itu. Status ini memang sudah sebati dan menjadi sejarah genre itu.

Pada pertengahan 1970-an, Judas Priest membantu menyebarkan evolusi genre ini dengan membuang sebahagian besar pengaruh blues. Gelombang baru heavy metal British menyusul dan bekembang dalam urat saraf yang sama, membentuk punk rock yang lebih daya kepekaan dan memberi penekanan kepada kelajuan.

Pada pertengahan 1980-an, pengaruh pop dalam glam metal menjadi faktor utama wajah heavy metal berubah menjadi lebih komersial. Senario undergound menyaksikan lebih banyak lagi gaya lebih ekstrim dan agresif, contohnya thrash metal, yang mula menular ke arus perdana, selain juga death metal.

Sejak pertengahan 1990-an, gaya seperti metal, yang sering mewujudkan elemen funk dan hip-hop; dan metalcore, yang digarap bersama extreme metal dan hardcore punk, lebih memperluaskan lagi definisi genre ini.

Tahukah anda genre ini berasal dari United Kingdom dan Amerika Syarikat pada akhir 1960-an. Instrumen muzik yang sering digunakan ialah gitar elektrik, bass, dram dan keyboard. Di Malaysia, kumpulan muzik thrash metal yang cukup ternama bukan saja di tanah air malahan luar negara adalah Cromok.

Cromok yang aktif sekitar 1990 sehingga 2005 adalah kumpulan thrash metal terbaik negara, malah digelar sebagai band otai di kalangan penggiat muzik thrash metal di tanahair. Dianggotai Sam, Karl, Miji dan Din, mereka asalnya adalah pelajar yang sedang menuntut di Australia dan di sanalah kumpulan ini ditubuhkan.

http://www.carmahlms.com/Info_Muzik/...MG03phmsta.jpg

seether 25-11-2010 08:59 AM

Boria ada kaitan peristiwa Karbala
 
Tahukah anda, persembahan boria mengikut Wikipedia Bahasa Melayu (ensiklopedia bebas) adalah jenis teater yang amat popular di negara utara Malaysia, terutama Pulau Pinang. Secara umumnya, asal permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala di Parsi.

Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu sketsa dan nyanyian. Nyanyian boria diketuai seorang Tukang Karang (biasanya akan memegang tongkat penunjuk ketika menyanyi). Rangkap karangan boria yang hujung suku katanya sama setiap rangkap kisahnya berkaitan dengan sketsa yang dipersembahkan.

Sailor yang terdiri lebih dari enam orang di belakang tukang karang akan menyanyi dengan mengulangi rangkap pertama nyanyian tukang karang tadi. Alat muzik boria telah berubah mengikut peredaran masa. Namun begitu, penggunaan alat muzik seperti violin, marwas, gendang panjang, akordian, harmonika adalah digalakkan.

Ada juga pihak mendakwa boria berasal dari India menerusi kegiatan perdagangan oleh pedagang Indian Muslim lama dulu, kesannya paling melekat kuat kini di kalangan masyarakat Melayu Pulau Pinang. Alat muzik seperti violin, maracas dan tabla biasanya mengiring persembahan boria, bagaimanapun, kumpulan muzik pop juga boleh mengiringi persembahan boria.

Boria juga dianggap sebagai sejenis teater yang amat popular di utara Malaysia, terutama Pulau Pinang. Secara umumnya asal permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala, iaitu peristiwa pembunuhan Saidina Hussein oleh Muawiyah bin Abi Suffian. Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu lakonan (lawak jenaka) dan nyanyian.

Bagaimanapun, seandainya lebih banyak alat muzik dapat digunakan semakin baiklah persembahan berkenaan. Di antara alat muzik yang sering digunakan ialah violin, gambus, marwas, tabla, simbal, gendang, akordian dan harmonika. Hubungan antara pakaian, muzik dialog dengan cerita yang dimainkan ada kaitan dengan cerita Arab, maka pakaian yang digunakan adalah ala Arab. Muzik dan tarian yang dimainkan pun mirip bentuk Arab. Malah bahasa yang digunakan pun loghat Arab.

Mengikut laman web Warisan Boria, Jabatan Kebudayaan, Keseniaan Dan Warisan Negeri Pulau Pinang, masih ramai tokoh dan penggiat boria boleh dijadikan rujukan. Syarat dan peraturan boria sebenarnya tidak susah. Setiap boria mestilah ada tajuk ceritanya.

Persembahan Sketsa di permulaan (bukan teater atau bangsawan) - Ada pencadang, ada pembangkang dan ada penasihat. Jadilah cerita. Sketsa dalam loghat utara adalah digalakkan. Seorang Tukang Karang (ada tongkat di tangan sebagai penunjuk, bukan tongkat yang membantu orang tua berjalan). Ada sailor ataupun 'kelasi' di belakang tukang karang. Kumpulan sailor akan melakukan gerakan mengikut irama lagu yang dipersembahkan.

Boria boleh diiringi kumpulan muzik ataupun terkini menerusi 'minus one'. Lagu boria pula bebas, ia boleh dicipta atau digubah daripada lagu sedia ada asalkan sesuai mengikut ciri persembahan boria.

http://www.carmahlms.com/Info_Muzik/...IMG03bakpk.jpg

seether 25-11-2010 09:02 AM

Cak Lempong alat muzik Melayu
 
Tahukah anda, Cak Lempong adalah alat muzik tradisional Melayu yang tergolong dalam keluarga gong yang berukuran kecil. Ia diperbuat daripada gangsa dan menggunakan teknik acuan.

Perkataan Cak Lempong juga diguanakan untuk menerangkan jenis ensemblenya (kesatuan). Cak Lempong mula berkembang di kalangan masayarakat Melayu berketurunan Minangkabau di Negeri Sembilan. Kini, kesenian muzik Cak Lempong telah bertapak di negeri lain dan diajar di kebanyakan sekolah serta institusi pengajian tinggi.

Cak Lempong biasanya dimainkan bersama iringan alat muzik lain seperti Seruling Buluh, Salung, Rebana dan Gong bagi mengiringi Pencak Silat, Tarian Lilin, Randai dan Tarian Inai serta lagu bunyi-bunyian dan juga nyanyian. Untuk perarakan pengantin, istilah 'Pacik' sering digunakan oleh masyarakat tempatan untuk menggambarkan kumpulannya. Dalam permainan ini, alat Cak Lempong dipegang oleh pemain itu sendiri di mana setiap pemain akan memegang dua alat Cak Lempong dan dimainkan secara 'meningkah' untuk mencipta satu rangkap melodi pendek. Lazimnya dalam permainan 'Pacik', ia akan dianggotai tiga pemain.

Dalam situasi tertentu, alat Cak Lempong boleh dijadikan sebagai alat pengganti kepada Canang seperti dalam persembahan Dikir Barat dan Wayang Kulit Kelantan. Namun, dalam keadaan sedemikian nama sifatnya hendaklah dijelaskan sebagai alat 'Canang'. Ini berdasarkan konteks persembahannya yang amat berkait dengan tuntutan disiplin berkenaan.

Dalam amalan persembahan masa kini, kumpulan Cak Lempong dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut fungsinya, iaitu bahagian 'Gereteh' yang memainkan melodi, manakala 'Tingkah' dan 'Saua' akan memainkan ritma secara berhomonofoni sebagai unsur pelengkap kepada irama sesebuah lagu terbabit.

http://www.carmahlms.com/Info_Muzik/...IMG03clamm.jpg

seether 25-11-2010 09:09 AM

Muzik opera klasikal Barat
 
Tahukah anda, opera ialah seni budaya masyarakat Eropah terutama orang Itali, Jerman, Perancis, Russia dan beberapa negara Eropah lain. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa opera mempunyai banyak terminologi yang masih tidak ada di dalam bahasa Melayu dan juga boleh menyebabkan terjemahannya disalahtafsirkan.

Perkataan opera bermaksud kerja dalam bahasa Itali. Ia menjelaskan bahawa opera menggabungkan seni nyanyian secara choral, deklamasi, lakonan dan tarian juga dalam adab pementasan.

Antara penyanyi opera yang cukup terkenal di dunia ialah Luciano Pavarotti, The Three Tenors, Plácido Domingo, Josĕ Carreras, Maria Callas, Hildegard Behrens, Montserrat Caballé, Renée Fleming, Renata Scotto, Kiri Te Kanawa, Renata Tebaldi, Joan Sutherland, Raina Kabaivanska, Catherine Malfitano dan Mirella Freni.

Opera adalah sebahagian daripada tradisi muzik klasikal Barat. Sesebuah persembahan opera mengandungi banyak elemen sepeti teater, bercakap seperti berlakon, pemandangan dan kostum serta ada kalanya mengandungi tarian.

Persembahan itu pula akan berlangsung di rumah opera, dengan diiringi orkestra pertama, tetapi komposer pertama yang dianggap hebat dalam bentuk seni baru ini adalah Claudio Monteverdi (1567-1643), di mana hasil gubahannya masih dipersembahkan sehingga kini.

Opera semakin lama semakin berkembang dari Venice dan Rome menerusi Itali dan keseluruhan Eropah termasuklah Schüit di Jerman, Lully di France dan Purcell di England - semuanya membantu mengangkat martabat dan kedudukan tradisi opera nasional pada abad ke-17.

Bagaimanapun, pada kurun ke-18, opera Itali terus mendominasi kebanyakan genre seni itu di Eropah, kecuali di Perancis yang mengumpan dan memikat komposer asing seperti Handel. Opera seria adalah bentuk opera Itali yang paling berprestij sehinggalah Gluck mengambil tindakan terhadap unsur tiruan dalam pembentukan semula opera itu pada 1760-an.

Penggiat opera yang paling berpengaruh lewat kurun ke-18 adalah Mozart, yang mula aktif dengan opera seria namun lebih dikenali menerusi komik opera Itali terutama The Marriage of Figaro, Don Glovanni dan Cosi Fan Tutte & Magic Flute.

http://www.carmahlms.com/Info_Muzik/.../IMG03mokb.jpg

seether 25-11-2010 09:17 AM

Muzik J-pop tampil identiti tersendiri Jepun
 
Tahukah anda mengenai muzik J-pop? Ia merujuk kepada muzik popular Jepun - diilhamkan media Jepun, untuk mengiktiraf dan membezakan antara pemuzik Jepun dan asing. Muzik J-pop boleh dikesan dalam muzik jazz yang mula popular ketika awal pemerintahan Showa (ketika pemerintahan Maharaja Hirohito).

Jazz memperkenalkan banyak instrumen muzik, yang sebelum ini hanya digunakan dalam persembahan klasikal dan perarakan ketenteraan, di bar dan juga kelab malam. Ia secara tidak langsung menambah elemen keseronokan (fun) dalam industri muzik Jepun. Kesan perkembangan itu, sebuah kafe muzik, Ongaku Kissa menjadi lokasi sangat popular untuk menikmati muzik jazz secara live.

Selepas mendapat tekanan daripada Tentera Maharaja ketika Perang Dunia Kedua, pertunjukan muzik jazz dihentikan. Apabila perang tamat, askar Amerika Syarikat (AS) yang masih berada di Jepun ketika itu dan Rangkaian Timur Jauh memperkenalkan beberapa lagi gaya muzik baru ke Negara Matahari Terbit itu.

Boogie-woogie, Mambo, Blues dan muzik Country mula dipersembahkan pemuzik Jepun untuk hiburan tentera AS. Lagu seperti ciptaan Shizuko Kasagi 'Tokyo Boogie-Woogie' (1948), Chiemi Eri 'Tennessee Waltz' (1951), Hibari Misora 'Omatsuri Mambo' dan Izumu Yukimura 'Omoide No Waltz' mula popular.

Pemuzik asing dan kumpulan termasuk JATP dan Louis Armstrong melawat Jepun untuk membuat persembahan. Pada 1952, diisytiharkan sebagai Year of the Jazz Boom tetapi genre itu sendiri menuntut tahap kecekapan skil teknikal yang tinggi dan begitu sukar dimainkan. Ramai pemuzik amatur Jepun mula beralih kepada muzik country, jauh lebih mudah untuk dipelajari dan dipersembahkan.

Pada 1956, kegilaan terhadap rock-and-roll mula menular - semuanya kerana kumpulan country Kosaka Kazuya and the Wagon Masters yang membawakan lagu Elvis Presley, Heartbreak Hotel. Cubaan menggandingkan muzik pop tradisional Jepun dengan rock 'n' roll menunjukkan kejayaan menerusi lagu Ue wo Muite Aruko (Let's Look Up and Walk) atau cukup dikenali di benua lain sebagai Sukiyaki. Ia adalah lagu Jepun pertama mendapat tempat dalam carta muzik AS.

Bermula awal 1970-an hingga pertengahan 1980-an, penekanan beralih daripada lagu yang mudah dengan iringan satu gitar kepada susunan muzik yang lebih kompleks dikenali sebagai New Music. Kalau dulu ia membawa mesej berbau sosial, kini lagu lebih memfokus kepada mesej yang lebih peribadi seperti cinta. Takuro Yoshida dan Yosui Inoue adalah dua artis New Music yang digeruni.

Pada 1980-an, terma City Pop digunakan untuk menjelaskan jenis muzik popular yang membawa terma bandar besar. Tokyo semestinya memberi insiprasi kepada banyak legu bentuk ini. Agak sukar membezakan antara City Pop dan New Music. Wasei Pao (Japan-made-pop) juga terma yang biasa digunakan untuk menterjemah City Pop dan New Music.

Bermula 1990-an, terma J-pop pula digunakan untuk menterjemah kebanyakan lagu popular. Rockers seperti Eikichi Yazawa, penyanyi yang masih terkenal berdekad lamanya popular dalam genre ini. Tidak ketinggalan kumpulan pop wanita, Yoko Oginome dan penyanyi serta komposer Chisato Moritaka.

Penyanyi bertaraf mega idol, Seiko Matsuda, melonjak popular sekitar 1980-an, malah popularitinya menjadi-jadi menerusi album Inggeris pada 1991 berjudul Eternal. Dia juga diburu akhbar tabloid AS kerana menjalin hubungan dengan Donnie Wahlberg, anggota New Kids On The Block, yang membawakan lagu duet The Right Combination bersama Seiko Matsuda. Seiko menjadi artis yang memegang takhta nombor satu carta hit Jepun sebanyak 25 kali. Namun, rekod itu dipecahkan Ayumi Hamasaki sebanyak 29 kali. Bersama Seiko, genre J-pop didominasi penyanyi seperti Miho Nakayama, Akina Nakamori, Chisato Moritaka dan Shizuka Kudo.

http://www.carmahlms.com/Info_Muzik/...G03mjptitj.jpg

seether 26-11-2010 05:17 AM

Tarian Daling-Daling
 
Mengikut sejarahnya, tarian Daling Daling sebenarnya berasal dari Sepanyol. Ia dipercayai diperkenalkan oleh tentera Sepanyol kepada penduduk Filipina. Akibat pengaruh yang dibawakan tentera Sepanyol, kini tarian Daling Daling menjadi tarian bagi kaum Sulu yang tinggal di Tawau.

Alat muzik yang digunakan ialah 'gabbang' dan dua bilah kayu yang disebut 'bolak-bolak'. Daling Daling ditarikan secara berpasangan, masing-masing tiga penari lelaki dan wanita. Ia dipersembahkan di majlis pertunangan, perkahwinan, berkhatan, berkhatam Quran atau majlis Hari Raya. Penari wanita memakai 'destar' yang disebut 'pies'.

Manakala, jari mereka pula dihias dengan kuku palsu yang diperbuat daripada logam perak atau suasa, kuku itu dinamakan 'janggal'.

Selain terkenal di kalangan suku kaum Sulu, tarian Daling Daling juga adalah tarian tradisional yang cukup terkenal bagi suku kaum Bajau.

Tarian Daling Daling biasanya dipersembahkan dengan iringan pukulan 'gabbang' dan gesekan biola dan nyanyian, kuku tiruan yang panjang dan bengkok ke belakang disematkan di sepuluh jari penari wanitanya.

Liuk-lintuk badan, kaki serta pergerakan kaki penarinya memperlihatkan keunikan tarian ini.

Ada sesetengah yang berpendapat bahawa tarian ini adalah tarian asal suku kaum Bajau di Daerah Semporna, sebaliknya ia dibawa oleh orang-orang Sulu dari kepulauan Mindanao selepas mendapat pengaruh tentera Sepanyol.

Pertumbuhan dan percampuran antara masyarakat Bajau dan Sulu mengakibatkan begitu kuatnya pengaruh tarian ini.

Sementara itu, dipercayai juga perkataan Daling Daling adalah berasal daripada perkataan Inggeris 'darling' yang bererti kekasih. Tarian ini adalah tarian hiburan yang unik di majlis khusus dan istimewa di mana penari lelaki dan perempuan akan berbalas pantun sambil menari.

http://www.carmahlms.com/Info_Muzik/...e/IMG03tdd.jpg


All times are GMT +8. The time now is 07:32 PM.

Copyright ©2000 - 2014, Jelsoft Enterprises Ltd.