PDA

View Full Version : Hari Ini Dalam Sejarah - 18/09


eboss
18-09-2009, 02:39 AM
PEMBENTUKAN MAJLIS PERTAHANAN MALAYSIA-Tarikh Peristiwa pada 18-09-1963

Pada hari ini dalam tahun 1963, Majlis Pertahanan Malaysia telah dibentuk oleh kerajaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang timbul, berikutan dengan langkah memutuskan perhubungan diplomatik dengan Indonesia dan Filipina. Majlis yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, Menteri Kewangan, Tun Tan Siew Sin; Menteri Dalam dan Keselamatan Negeri, Datuk Dr Ismail; Menteri Kerja Raya, Telekom dan Pos, Datuk Sambanthan dan Ketua Angkatan Bersenjata Persekutuan Malaysia, Datuk Rodney More. Pengumuman pembentukan Majlis Pertahanan ini telah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman dalam satu sidang akhbar yang pertama kali diadakan sejak pembentukan Malaysia. Pembentukan Majlis ini merupakan satu langkah pertahanan bagi persediaan menghadapi segala kemungkinan ancaman luar negeri. Sebagai langkah permulaan, tentera simpanan, terutamanya Tentera Wataniah telah dikerah, bagi memperkuatkan Angkatan Bersenjata manakala Pasukan Polis Khas (Special Constable) digerakkan semula. Sesungguhnya, langkah pembentukan majlis ini diambil sebagai persediaan bagi memperkukuhkan pertahanan negara, demi memastikan kemakmuran dan kemerdekaan yang dikecapi terus dipertahankan.

eboss
18-09-2009, 02:40 AM
PERASMIAN HARI TERBUKA PUSAT PENYELIDIKAN PERUBATAN KUALA LUMPUR-Tarikh Peristiwa pada 18-09-1971

Pusat Penyelidikan Perubatan (I.M.R.) telah ditubuhkan pada 1900, adalah cabang penyelidikan bagi Kementerian Kesihatan dan dibiayai oleh Kerajaan Malaysia. Pengasas dan pengarah pertama I.M.R. ialah Dr. Hamilton Wright. Sejak ditubuhkan, I.M.R. telah memberi sumbangan yang besar diperingkat antarabangsa dalam bidang penyelidikan dan pengawalan penyakit-penyakit. Pada hari ini 18.9.1971 Perdana Menteri Malaysia YAB. Tun Abdul Razak bin Hj. Hussien telah merasmikan Hari Terbuka Ulang tahun ke 70 Pusat Penyelidikan Perubatan bertempat di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Turut hadir di Majlis tersebut ialah Menteri Kesihatan Malaysia Y.B. Tan Sri Sardon bin Hj. Jubir dan Pengarah I.M.R. Dr. Abu Bakar bin Ibrahim.
Di antara matlamat utama diadakan hari terbuka ulangtahun ke 70 I.M.R. ialah:-

Mendedahkan kegiatan-kegiatan Pusat Penyelidikan Perubatan, supaya mendapat perhatian yang lebih meluas dari orang ramai supaya mereka benar-benar faham segala langkah dan usaha kerajaan untuk kebajikan dan kesihatan mereka.
Memperkenalkan I.M.R. yang memainkan peranan aktif sebagai perintis dalam beberapa lapangan perubatan untuk mencegah penyakit. Di antaranya ialah seperti penyakit Malaria, beri-beri, kepialu dan lain-lain penyakit tropika yang mudah berjangkit.

Dalam ucapan perasmian Perdana Menteri berkata bahawa Pusat Penyelidikan Perubatan sejak mula didirikan tujuh puluh tahun yang lalu, telah banyak berjasa, terutama dalam usaha meninggikan tingkatan kesihatan rakyat. Di samping itu kerajaan sentiasa sedar bahawa perubatan moden, banyak bergantung kepada bidang teknologi yang lengkap iaitu alat-alat yang perlu bagi melakukan kerja-kerja penyelidikan yang teliti. Sesungguhnya hari terbuka I.M.R. diharap akan menjadi peristiwa tahunan dan dengan itu segala kegiatan yang dijalankan oleh pusat itu akan lebih terkenal bukan sahaja kepada dunia luar bahkan lebih penting kepada rakyat Malaysia sendiri.

eboss
18-09-2009, 02:41 AM
SEMINAR BERSAMA KEBANGSAAN PERPUSTAKAAN-PERPUSTAKAAN PARLIMEN DAN DEWAN UNDANGAN NEGERI YANG PERTAMA-Tarikh Peristiwa pada 18-09-1990


Persidangan, seminar, mesyuarat, perbincangan dan lain-lain akan dapat melahirkan idea-idea yang bernas untuk dikongsi bersama dan juga dapat menyelesaikan pelbagai masalah dalam sesebuah organisasi. Sehubungan dengan itu, untuk mempertingkatkan lagi maklumat-maklumat dan khidmat perpustakaan kepada Dewan-dewan Parlimen dan Dewan-dewan Perundangan Negeri, maka pada hari ini 18.9.1990 Parlimen Malaysia telah menganjurkan Seminar Bersama Kebangsaan Perpustakaan, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang pertama, bersama-sama dengan Jabatan Perpustakaan Negara. Seminar itu telah dirasmikan oleh Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' Mohamed Zahir bin Haji Ismail. Turut serta di majlis tersebut ialah Setiausaha Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri.

Tujuan utama seminar tersebut dianjurkan ialah:-

Untuk membawa ke meja perbincangan bagi pertama kalinya pustakawan- pustakawan/ pegawai-pegawai yang bertugas dalam menyediakan maklumat atau khidmat perpustakaan kepada Dewan-dewan Parlimen dan Dewan-dewan Perundangan Negeri.
Untuk menggalakkan aliran maklumat-maklumat serta membantu dalam perkembangan dan kemajuan milik simpanan perpustakaan.
Beberapa kertas kerja telah dibentangkan oleh para peserta daripada Perpustakaan Negara. Parlimen, Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak dan setiap peserta telah menyatakan secara ringkas mengenai koleksi simpanan dan khidmat-khidmat perpustakaan masing-masing. Di samping itu pelbagai perkara telah ditimbulkan dan difikirkan bersama dan setiap peserta menyedari akan kerumitan dan tugas yang banyak dalam membina khidmat Perpustakaan Perundangan.

Di hari kedua seminar, beberapa resolusi telah diputuskan, di antaranya:-

Suatu Pusat Penerangan dan penyelidikan ditubuhkan di Parlimen Malaysia dan Dewan-dewan Undangan negeri untuk menggalakkan Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri membuat penyelidikan.
Beberapa Dewan Undangan Negeri tiada mempunyai perpustakaan dan yang mana ada perpustakaan tidak kemaskini dan teratur. Perpustakaan Parlimen telah diminta bekerjasama dengan Perpustakaan Negara untuk menyediakan memorandum khas mengenai kaedah-kaedah organisasi bangunan, alat perkakas, kakitangan serta bahan-bahan bacaan untuk memodenkan Perpustakaan Dewan-Dewan Undangan negeri.
Perpustakaan-Perpustakaan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di lengkapkan dengan alat-alat komputer dan teknologi moden untuk kemudahan perkhidmatan.
Koleksi-koleksi rujukan dan khas hendaklah disimpan dalam mikrofilem.
Sesungguhnya Seminar yang diadakan selama 2 hari itu diharap akan dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan Perpustakaan Parlimen atau Dewan-Dewan Undangan Negeri ke tahap yang lebih baik dan sentiasa memberi kepuasan kepada para pengguna.

eboss
18-09-2009, 02:42 AM
PEMBENTUKAN MAJLIS PERTAHANAN MALAYSIA-Tarikh Peristiwa pada 18-09-1963

Pada hari ini 18.9.1963, Majlis Pertahanan Malaysia telah dibentuk oleh kerajaan. Pembentukan Majlis ini telah diumumkan oleh Tunku Abdul Rahman di dalam suatu sidang akhbar iaitu sidang akhbar yang pertama sejak lahirnya Malaysia. Majlis Pertahanan Malaysia ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra dan dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, Menteri Kewangan, Tun Tan Siew Sin, Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan Negari, Datuk Doktor Ismail, Menteri Kerja Raya Talikom dan Pos, Datuk Sambanthan dan Ketua Angkatan Bersenjata Persekutuan Malaysia, Datuk Rodney More. Pembentukkan majlis ini merupakan satu langkah pertahanan bagi persediaan menghadapi segala kemungkinan. Sebagai langkah permulaan, tentera simpanan, terutama sekali Tentera Wataniah telah dikerah bagi memperkuatkan angkatan bersenjata. Angkatan Polis pula diperkuatkan dengan cara menghidupkan semula Pasukan Polis Khas (Special Konstabel). Pertubuhan-pertubuhan awam juga dikerah supaya bersiap sedia. Di sidang akhbar ini, Tunku Abdul Rahman telah mengingatkan bahawa Persekutuan Malaysia dan Britain mempunyai perjanjian pertahanan. Dengan perjanjian ini Malaysia dan British akan terlibat dalam sebarang serangan yang dilakukan ke atas Negeri-negeri Komanwel. Tunku juga telah menerangkan bahawa setakat ini Malaysia belum lagi meminta apa-apa pertolongan pertahanan dari negara sahabat. Malaysia belum lagi dalam keadaan perang. Ia hanya dalam keadaan dan berjaga-jaga sahaja untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

eboss
18-09-2009, 02:43 AM
TUN ABDUL RAZAK MENGETUAI NEGARA KE PERSIDANGAN PERDANA-PERDANA MENTERI KOMANWEL DI LONDON

Pada hari ini 18.09.1962, Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak yang mengetuai perwakilan negara ke Persidangan Perdana-perdana Menteri Komanwel di London telah berucap di persidangan tersebut. Persidangan yang bermula 10 September 1962 tersebut berlangsung selama 10 hari dan dihadiri oleh semua Perdana Menteri dan Ketua Kerajaan Komanwel. Antara perwakilan negara yang turut hadir sama ialah Tan Siew Sin, Encik Khir Johari dan para pegawai. Dalam ucapannya di persidangan itu tersebut Tun Abdul Razak menegaskan bahawa Malaya akan terus menjadi kubu utama untuk menentang ancaman komunis di Asia Tenggara. Beliau menjelaskan juga Malaya mempunyai pengalaman semasa membanteras komunis di zaman darurat selama 12 tahun. Ucapan Tun Razak juga menyentuh tentang pendekatan yang diamalkan oleh Malaya untuk menghindar kemunculan semula pengaruh komunis iaitu dengan melaksanakan pembangunan luar bandar dengan lebih berkesan. Beliau juga menggariskan perkara-perkara berkaitan rantau Asia Tenggara seperti masalah di Irian Jaya, peranan pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASA) dan sebagainya. Ucapan Tun Razak yang panjang lebar tersebut telah mendapat perhatian daripada Perdana Menteri Komanwel yang menghadiri persidangan pada hari ini dalam tahun 1962.