Sedikit Cerita Tentang S Shamsuddin
S Shamsudin masih aktif walau uzur
SEBUT saja nama Sudin atau S Shamsudin, siapa boleh lupa pada aksi lucunya dalam filem Bujang Lapok. Lakonan bersama Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Datuk Aziz Satar itu cukup mencuit hati.
Namun, ramai tidak tahu perkembangan terkini seniman yang menetap di Singapura itu. Khabarnya, pelakon berusia 79 tahun ini baru keluar dari National University Hospital (Singapura).
S Shamsudin atau nama sebenarnya Shamsudin Dali menjalani rawatan di hospital itu selama empat hari kerana penyakit asma, paru-paru berair, tekanan darah rendah dan jangkitan kuman.
"Alhamdulillah, saya sekarang beransur pulih. Mujur doktor mengesahkan ia tidak serius. Buat masa ini, saya perlu banyak berehat dan makan ubat mengikut masa ditetapkan.
"Sebenarnya, saya sudah dua minggu dibenarkan balik ke rumah. Saya dimasukkan ke hospital pada hari raya keempat. Sepanjang menerima rawatan, isteri dan anak yang menjaga saya," katanya ketika dihubungi, kelmarin.
S Shamsudin berkata, semua penyakit itu dihidapinya sejak usia meningkat. Katanya ketika muda dulu, dia kuat dan sihat malah jarang kesihatannya terganggu.
"Biasalah, orang sudah tua. Sakit itu memang tidak dapat dielak. Apapun, saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) kerana prihatin dengan keadaan saya.
"Pada 7 November lalu, saya menerima sumbangan RM5,000 daripada KeKKWa menerusi Skim Belaan Artis. Terima kasih kepada Datuk Seri Dr Rais Yatim kerana mewakilkan Finas berkunjung ke Singapura menghantar sumbangan dan meninjau keadaan saya di sini," katanya.
S Shamsudin berkata, dia masih meneruskan aktiviti berlakon apabila menjayakan drama Orang Kaya Baru (OKB). Katanya, dia gembira kerana masih diberi peluang menjayakan drama lapan episod yang diterbitkan produksi Singapura.
"Saya terima tawaran itu kerana minat dan rasa mampu melakukannya. Pada saya, kalau hendak dan larat, saya buatlah. Jika tidak mahu, jangan sesekali diambil," katanya.
Mengenai pengalamannya berlakon pada zaman P Ramlee dengan zaman sekarang, bapa tujuh anak ini mengakui bezanya sangat jauh. Katanya, beliau berusaha mengikut rentak lakonan masa kini.
Selain bercerita soal kesihatan dan perkembangan seninya, S Shamsuddin turut memberitahu beliau akan menerima Anugerah Seri Panggung anjuran Life Music Record, Singapura tidak lama lagi.
Dalam kunjungan Finas ke Singapura pada 7 November lalu, S Shamsuddin yang ditemani isterinya, Che Putih Ismot menerima sumbangan RM5,000 yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd Zulkifli Ab Wahab.
Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Finas, Mohd Fazli Abd Aziz berkata, kunjungan itu dibuat selepas mendapat tahu mengenai keadaan kesihatan S Shamsudin.
"Pada 1 November lalu, Dr Rais mengadakan lawatan kerja di Finas dan beliau bertanyakan pada Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim mengenai perkembangan artis veteran.
"Apabila dimaklumkan S Shamsudin tidak sihat, Finas diarahkan menghulur sumbangan kepada seniman itu. Justeru hanya saya bersama Timbalan Ketua Pengarah Finas dan Aimi Jarr yang berkunjung ke Singapura," katanya.
Fazli berkata, Finas sentiasa memantau perkembangan artis veteran sama ada di negara ini dan Singapura. Katanya, jika mereka didapati kurang sihat, Finas sedia menghulurkan bantuan.
"Baru-baru ini ketika majlis berbuka puasa, Finas turut menyerahkan sumbangan kepada 13 artis veteran antaranya Datuk Ahmad Mahmud, Hussein Abu Hassan, Yusni Jaafar, Karim Latif, Param, Ali Rahman dan Yahya Sulong.