BTC USD 84,913.2 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Memoir Shamsiah Fakeh dari AWAS rejimen ke-10

hgt422007

Active Member
Messages
1,364
Joined
Feb 28, 2008
Messages
1,364
Reaction score
155
Points
33
20 Oktober 2008, perginya “Wanita Komunis Terakhir” - Shamsiah Fakeh jauh dari kita. Pergi untuk melengkapkan kembaranya. Pada jam 5.30 petang, diiringi dengan tangisan, jenazah Allahyarhamah Shamsiah Fakeh dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Perginya dengan meninggalkan tanda tanya dalam sejarah…

Shamsiah Fakeh dilahirkan pada tahun 1924 di Kampung Gemuruh kira-kira satu batu dari pekan Kuala Pilah. Shamsiah merupakan puteri kepada Sutan bin Sulaiman dan Saamah bte Nonggok.

Pada peringkat awal perjuangan menuntut kemerdekaan, lahir beberapa parti politik berhaluan kiri umpamanya API atau Angkatan Pemuda Insaf yang diketuai Ahmad Boestamam dan AWAS ataupun Angkatan Wanita Sedar yang diketuai oleh Shamsiah. Penglibatan dalam parti inilah yang membuahkan semangat nasionlisme yang tinggi pada Shamsiah

Shamsiah Fakeh berkahwin sebanyak 5 kali dan perkahwinannya dengan Ibrahim Mohamad adalah yang terakhir baginya. Beliau juga pernah berkahwin dengan Ahmad Boestamam namun Boestamam tidak pernah menulis darihal perkahwinan ini dalam mana-mana karya beliau.

Perkahwinannya dengan Boestamam terganggu dengan penahanan Boestamam oleh kerajaan penjajah British pada April 1947. Dalam hal ini Shamsiah menyatakan betapa Boestamam telah diheret ke mahkamah atas pertuduhan menghasut melalui karya panas beliau “Testamen API” yang telah diharamkan oleh pihak penjajah. Boetamam telah didapati bersalah dan kemudiannya didenda seribu dua ratus ringgit ataupun 9 bulan penjara. Boestamam telah membayar denda tersebut dan kemudiannya telah dibebaskan.

Isu nya bermula disini. Pada Shamsiah, seorang nasionalis akan lebih rela merengkok di dalam penjara. Namun bagi Ahmad Boestamam, beliau lebih diperlukan diluar. Tindakan Boestamam membayar denda dan tidak rela dipenjara membuatkan Shamsiah Fakeh kecewa dan dikatakan itulah puncanya mereka bercerai.

Apabila penjajah British mula mengekang gerakan politik Melayu yang dianggap ekstrim dan kiri, Shamsiah dan rakan-rakannya mula terasa tertekan. Penahanan Boestamam dan ramai lagi mengakibatkan API dan badan-badan gerakan kebangsaan lain kemudiannya diharamkan dan lumpuh. Akibat daripada tekanan pihak penjajah yang berterusan inilah akhirnya Shamsiah membuat keputusan menurut jejak langkah rakan-rakan seperjuangannya untuk lari masuk ke hutan dan meneruskan perjuangan bersenjata dari sana.

“Situasi ketika itu sudah mulai tegang. Kami telah diperintahkan masuk hutan di kawasan Lubuk Kawah. Aku pun masuk hutan dan bermulalah era aku berjuang mengangkat senjata. Semangat cintakan tanahair dan Kemerdekaan serta kesetiaan kepada perjuangan telah mebuat aku teguh dan sanggup masuk hutan. Yang penting ialah mencapai Kemerdekaan. Pada fikiranku setelah Merdeka maka segala-galanya akan dapat diselesaikan.”

Hutan akhirnya mendewasakan Shamsiah dan memantapkan lagi pegangan beliau terhadap perjuangannya.

Seterusnya dari hutan pada tahun 1956 Shamsiah berhijrah dengan suaminya Ibrahim Mohamad ke China, dihantar oleh PKM untuk belajar. Pasangan ini terus berada di sana dan memegang berbagai peranan termasuklah bertugas bagi siaran Melayu Radio Beijing antarabangsa. Pada tahun 1965 mereka ditugaskan ke Indonesia yang ketika itu mengamalkan NASAKOM iaitu Nasionalisma, Sosialisma dan Komunisma sebagai ideologi kebangsaan di bawah Soekarno. Kehadiran Shamsiah adalah untuk kemudiannya menubuhkan pejabat perwakilan Liga Pembebasan Nasional Malaya di Indonesia.

Mereka bebas beroperasi sehinggalah tercetusnya ketegangan di Jakarta apabila berlaku rampasan kuasa tentera dan Suharto mengambil-alih kuasa pemerintahan. Beliau dan rakan-rakannya ditangkap oleh penguasa Indonesia pada tahun 1965 sehinggalah dibebaskan pada tahun 1967 dengan bantuan kedutaan Vietnam. Dan dari sana beliau diterbangkan ke Vietnam dan kemudian kembali ke China.

Shamsiah kemudiannya menghadapi situasi pergolakan dalam PKM sehinggalah beliau dan suaminya dipecat dari parti yang mereka anggotai itu lalu menjadi rakyat biasa di China sehinggalah berjaya pulang ke tanahair pada tahun 1994 atas keizinan kerajaan Malaysia. Kepulangannya ekoran perjanjian perdamaian antara kerajaan Malaysia dan PKM pada tahun 1989 yang bagi beliau menandakan tamatnya permusuhan 41 tahun kedua-dua pihak.

Uniknya perjuangan Shamsiah, beliau dikatakan tidak pernah pun membunuh malah menembak tentera Melayu.

“Sebenarnya anggota Polis dan tentera memang tak perlu berdendam dengan aku kerana sepucuk pistol dan sebutir bom tangan yang aku pakai dalam hutan dahulu itu tidak pernah meletup dan tak sebutir peluru pun yang membunuh polis atau tentera kerajaan. Sebaliknya akulah yang terkena hujan peluru mereka.”

Namun sebagai seorang pejuang tulen, bagi Shamsiah perjanjian itu bukan bermakna pihak kerajaan telah menang di medan perang. Ianya lebih merupakan kejayaan kedua-dua pihak di meja perundingan.

Bagi Shamsiah beliau adalah pejuang kemerdekaan Negara walaupun tidak diiktiraf demikian oleh kerajaan. Sumbangan beliau dan rakan-rakannya akan tetap berada di lipatan sejarah walaupun cuba dinafikan oleh pihak-pihak tertentu.

“Sebenarnya aku bukanlah pemimpin wanita Parti Komunis Malaya atau seorang tokoh wanita yang terkemuka. Aku hanya seorang pejuang wanita yang berjuang melawan British untuk kemerdekaan tanahair dan untuk emansipasi (kebebasan) wanita.”

Sejauh mana kita boleh menerima perbezaan ini? Sejauh mana pula memberi tafsiran pada setiap tindakan dan fahaman yang dipegang hingga mati oleh Shamsiah Fakeh. Perlu kita ketahu bahawa derita Shamsiah tidak pernah berakhir

Cuma yang paling beliau kesalkan adalah apabila bekas Pengerusi PKM Musa Ahmad pernah semasa wawancara di RTM pada tahun 1981 menyatakan bahawa Shamsiah telah mencampakkan sendiri anaknya ke sungai untuk mati. Dan dalam Utusan Malaysia pada tahun 1987 seorang yang mengaku sebagai bekas teman sekolahnya telah menyatakan bahawa Shamsiah telah menghempaskan anaknya ke batu setelah mengetahui suaminya menyerah diri kepada polis.

Kedua-dua kenyataan tersebut dinafikan oleh Shamsiah Fakeh.

Lantaran itu karya beliau yang telah diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia berjudul Memoir Shamsiah Fakeh Dari AWAS ke Rejimen ke-10 harus dianggap usaha mulia walaupun sedikit lewat.

Mungkin buku ini tidaklah seberapa jika dikira dari sudut nilai harganya ataupun keuntungannya, tetapi membaca buku ini sekurang-kurangnya memberi keadilan sejarah pada Shamsiah Fakeh. Mungkin cerita-cerita Shamsiah Fakeh telah tabu dalam kotak pemikiran kita, namun berilah sedikit ruang untuk mengetahui apakah sebenarnya dalam kotak pemikiran wanita komunis terakhir.

Apapun, pemergian Allahyarhamah akan terus dirasai pada tika mula berfikir tentang “keadilan sejarah”.

Al-fatihah.
 
1st time aku dengar nama arwah masa baca buku sejarah tingkatan 3. ooo..itu macama ka..
 
banyak sumbangan beliau sbenarnye tuk negare, tp x dceritakn dalam buku sejarah sekolah..
 
mungkin platform perjuangannya yg mencemarkan namanya ...
 
sbb dia memilih PKM.........
komunis...........
 
sukar di cari galang gantinya di masa ini..bangkitlah semua kaum ku!!
 
semua kisah dibongkarkan
 
Back
Top
Log in Register