Cara-cara Makyong Dimainkan
Setelah segala-gala peralatan seperti telah disediakan, ia kemudiannya diletakkan dihadapan Tok Bomoh dan dibaca mentera-menteranya sambil diiringi dengan geseran rebab yang perlahan-lahan hingga sampai kekemuncak dan disertai dengan semua alat-alat muzik yang lain seterusnya.
Setelah upacara pembukaan panggong telah selesai, lagu bertabuh, dimulakan dengan diikuti dengan lagu-lagu yang lain tanpa nyayian. Kemudian lagu makyong (Sang Gendang) dinyanyikan. Serentak dengan itu, Pak Yong akan turun sambil diiringi oleh Mak Yong yang berada di belakang dan terus duduk.
Acara yang diikut kemudiannya ialah permainan lagu mengadap rebab yang dinyanyikan oleh Pak Yong serta diikut dengan Dondang-Dondang yang dinyayikan oleh Mak Yong beramai-ramai yang berfungsi sebagai pemuzik.
Setelah itu diikuti dengan lagu-lagu Kabar Ke Abang(Se Dondang Makyong) dengan tarian-tariannya sekali, lagu Jarah Bilik Awang(Sedayong Pak Yong) yang dinyanyikan oleh Pak Yong, lagu Kisah Barat yang juga dinyanyikan oleh Pak Yong. Dan akhirnya lagu Barat Anjor dinyanyikan.
Selepas itu pengasuh-pengasuh akan dipanggil dengan menyanyikan sebuah lagu yang dinamakan lagu Barat Cepat. Kemudiannya Raja dan Perang akan menyanyikan lagu Berkabar. Selepas itu pengasuh iaitu Awang akan keluar dengan menyanyikan salah sebuah lagu Saudara ataupun lagu Sindong. Ini diikuti oleh upacara pengasuh kedua keluar dengan Barat Cepat. Kedua-dua pengasuh kemudiannya berjalan dengan menyanyikan sebuah lagu Saudara.
Perang kedua kemudiannya keluar mengadap Raja. Raja akan menyanyikan lagu Pak Yong Muda Kabar sambil memberitahu kepada kedua-dua pengasuhnya supaya mengadap ayahanda Tengku Puteri Ucana Muda Raja dan menyuruh pengasuh pertama supaya memanggil isterinya mengadap. Setelah isterinya mengadap, Raja berkata bahawa dia hendak balik dalam negerinya.
Sebelum Raja Gunung Beritan berangkat, baginda berpesan kepada menantunya Raja Bongsu Sakti, jika anakanda sampai ke Telok Mati Angin Pulau Mati Anak jangan sekali anakanda berhenti di situ kerana di situ ada seekor Jin Selangkah Tunggal yang selalu mengacau orang-orang yang lalu di situ.
Setelah itu Raja dan angkatannya keluar dari istana dengan menyanyikan lagu Barat dan lagu Belang-belang Berjalan. Apabila sampai di laut lalu semuanya naik ke atas kapal. Maka layar dinaikkan dan sauh diangkat sambil puja memuja kepandaian masing-masing. Penari-penari yang ada di dalam pelayaran itu kemudiannya menari dan menyanyikan lagu Mengulik Burung Jerijik beramai-ramai dan kedua-dua pengasuh akan bermain wayang kulit. Suasana di atas kapal itu begitu meriah sekali.
Tiba-tiba kapal itu berhenti. Raja mengarahkan anak-anak kapalnya supaya mengayohkan kapal itu, tetapi tidak juga bergerak. Kemudian dicuba pula untuk mengalah, juga tidak bergerak. Akhirnya Raja ber0pesan kepada anak-anak kapalnya supaya bersiap sedia dan memasang talong kecil dan besar supaya berjaga-jaga. Raja dapat mengetahui bahawa ini adalah angkara Jin Selangkah Tunggal. Tiba-tiba Jin Selangkah Tunggal membuat kelumunannya dengan menghembus asap daripada mulutnya kepada kapal Raja. Disebabkan oleh asap itu maka semua anak-anak kapal dan Raja itu telah jadi mengantuk lalu terus tertidur.
Setelah itu Jin Selangkah Tunggal telah membawa lari Tuan Puteri Ucana Muda ke Gua Batu sambil menyanyikan lagu Perang. Apabila Tuan Puteri Ucana Muda tersedar daripada tidurnya ia lalu menjerit ketakutan melihat Jin Selangkah Tunggal dan ia menyumpah-yumpah akan Jin itu. Lalu Tuan Puteri berkata kepada Jin itu bahawa kalau ia seorang yang berani kenapa ia membawa dirinya lari kalau sekadar ingin menjadikan dirinya seorang isteri kerana ia lebih rela mati daripada menjadi isterinya. Kemudian Tuan Puteri menyuruh Jin itu menghantar semula dirinya ke kapal itu. Tetapi Jin itu hanya ketawa terbahak-bahak sehingga bergegar di dalam Gua Batu itu.
Tersebutlah kisah ada seekor Amir Putih Raja Kera yang sedang bertapa di atas Gunung Tersinar. Dia telah ternampak Jin itu membawa lari Tuan Puteri Ucana Muda itu daripada kapal Raja, lalu ia terbang ke Gua Batu untuk mendapatkan semula Tuan Puteri Ucana Muda. Apabila ia sampai ke Gua Batu, pergaduhan yang sengit di antara Jin Selangkah Tunggal dengan Amir Putih Raja Kera. Tetapi malang bagi pihak Amir Putih Raja Kera kerana ia tidak mampu untuk mengalahkan Jin itu. Setelah menyaksikan pergaduhan itu, lalu Tuan Puteri berkata kepada Amir Putih Raja Kera supaya jangan meneruskan pergaduhan itu, sebaliknya ia memberi gelang tangannya kepada Amir Putih Raja Kera dan menyuruhnya lekatkan gelang itu di ekornya dan pergi di atas kapal suaminya, Raja Bongsu Sakti. Ia menyuruh Amir Putih Raja Kera memberitahu kepada suaminya bahawa ia ada di sini dan suruh suaminya datang dengan segera untuk menyelamatkannya.
Lalu Amir Putih Raja Kera pun terbang menuju kepada kapal Raja Bopngsu Sakti dan ia terus menaiki kapal itu. Digoncang olehnya tiang kapal itu sekuat-kuat hatinya untuk mengejutkan anak-anak kapal serta Raja itu tetapi usahanya gagal sama sekali. Ia dapat mengagak ini tentu angkara Jin Selangkah Tunggal. Dengan menggunakan saktinya dan meniup, ia telah dapat mengejutkan semua anak-anak kapal dan Raja di dalam kapal itu. Keadaan menjadi semakin tegang apabila mereka menyedari bahawa Tuan Puteri Ucana Muda telah hilang daripada kapal itu. Dalam keadaan yang kecoh itu, Amir Putih Raja Kera telah mengoncangkan tiang layar kapal itu sekuat-kuat hati sehingga hendak patah tiang itu hanya untuk memberitahu kepada anak-anak kapal dan Raja itu apa yang telah terjadi kepada Tuan Puteri Ucana Muda.
Kemudian Raja pun berangkat dengan pengasuh-pengasuhnya ke Gua Batu untuk menyelamatkan Tuan Puteri. Setelah raja sampai kepada destinasinya maka berlakulah satu peperangan yang besar di antara Raja Bongsu Sakti dengan Jin Selangkah Tunggal. Raja Bongsu Sakti telah menggunakan segala kesaktian sehingga Jin tersebut tidak dapat melawannya lagi. Kemudian Jin itu berkata sambil merayu kepada Raja Bongsu Sakti supaya jangan membunuhnya dan ia bersedia untuk mengambil Tuan Puteri dan membawanya kepada Raja Bongsu Sakti. Sebenarnya ini hanyalah satu tipu helah daripada Jin tersebut. Setelah ia pergi mengambil Tuan Puteri itu, ia tidak membawanya kepada sRaja tetapi telah membawa Tuan Puteri itu masuk ke dalam Gua Batu yang lebih dalam lagi. Setelah mengetahui rancangan Jin itu, maka Raja Bongsu Sakti telah turun ke dalam gua yang paling dalam sekali di mana air di dalam gua ini hingga ke paras tengkuk. Maka berlaku satu lagi pergaduhan yang sengit di antara Raja Bongsu Sakti dan Jin Selangkah Tunggal yang mana pergaduhan ini telah berakhir dangan kekalahan di pihak Jin. Sambil merayu Jin itu berkata supaya jangan dibunuhnya dan berilah dia nyawa. Ia sanggup untuk menjadi hamba kepada Raja dan berjanji tidak akan menggangu lagi sesiapa yang lalu ke kawasan itu. Tetapi terdapat satu permintaan daripada Jin itu, iaitu dia hendak merasa masakan mentah yang disediakan oleh Tuan Puteri Ucana Muda. Permintaan ini telah ditunaikan oleh Raja. Setelah semuanya berakhir maka Raja Bongsu Sakti pun membawa naik Tuan Puteri ke atas bersama-sama pengasuh kedua sehingga di depan pintu Gua Batu.
Setelah sampai di depan pintu Gua Batu, Tuan Puteri pun mengucapkan dalam bahasa saktinya dengan lagu Barat Cepat seterusnya Sal, lalu keluarlah satu hidangan makanan mentah di dalam talam dan terus diberikan kepada Jin itu. Jin itupun makan dengan lahapnya sambil menyanyikan lagu Hala sehingga habis kesemua makanan itu.
Setelah segala-galanya selesai, Raja pun menghalau Jin itu keluar dari situ. Raja dan Tuan Puteri serta Pengasuh kedua itupun kembalilah ke kapalnya dengan menyanyikan lagu Barat Cepat. Apabila sampai sahaja ke kapal, anak-anak kapalnya begitu gembira kerana Raja mereka telah berjaya menyelamatkan Tuan Puteri tersebut. Mereka pun berlayarlah dengan laju menuju ke negeri bondanya. Setelah sampai mereka telah disambut dengan meriahnya oleh segala rakyat jelata di dalam negeri bondanya dengan persembahan-persembahan tarian Asyik, bersilat dan sebagainya yang berkenaan bagi sesuatu majlis Diraja. Serentak dengan itu juga Raja Bongsu Sakti telah dilantik oleh bondanya menjadi Raja bagi negeri Pelenggang Cahaya bagi menggantikan ayahandanya Raja Gondang yang hilang entah ke mana. Tuan Puteri Ucana Muda pula telah dilantik menjadi Tengku Permaisuri. Sesudah itu Perang Tua pun berkata yang dia bersyukur bahawa segalanya telah selamat dan menyuruh semua rakyat jelata yang ada di situ pulang ke rumah masing-masing.
Oleh kerana gembiranya hati Raja Bongsu Sakti, beliau menyanyikan lagu Barat Anjor sambil dijawab oleh orang ramai yang terus mengadap ke depan untuk menyembah kepada Raja baru mereka dan diiringi oleh taburan beras kunyit yang dilakukan oleh bomoh.