Kayap Menyebabkan Singapura Tersingkir Daripada Malaysia?
Ketua editor 'The New Straits Times', Tan Sri Abdullah Ahmad (yang lebih dikenali oleh kumpulan veteran UMNO sebagai Abdullah Komunis - penterjemah) menulis di NST melalui satu kolum yang berunsur 'alter-ego' yang diberi nama 'NST Diary'. Pada 11 Ogos, muka surat 8, dia ada menceritakan betapa penyakit kayap yang ditanggung oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada tahun 1965 (seperti penyakit yang sama ditanggungnya ketika menulis artikel itu), telah menjadi penyebab utama berlakunya satu perubahan besar dalam tindakan negara. Abdullah Komunis membuat andaian betapa Tunku yang sedang kesakitan ketika itu, memberi arahan kepada timbalan beliau Tun Abdul Razak, untuk bertindak menyingkirkan Singapura daripada gugusan Malaysia. Abdullah Komunis berlagak lebih mengada-ngada apabila mendakwa Tun Razak (yang ketika itu menggunakan khidmat Dollah Komunis sebagai Setiausaha politik) telah membacakan sebahagian surat Tunku itu kepada Dollah Komunis sehinggakan Dollah Komunis merayu kepada Tun Razak supaya memujuk Tunku menimbang semula tindakannya. Kalaupun Tunku ada menulis surat semacam itu, tentulah penulisannya itu dibuat selepas berlaku peristiwa itu, kerana Tun Razak menerima arahan itu secara peribadi daripada Tunku yang ketika itu sedang berehat di 'London Clinic' di London.
(Catatan penterjemah: Sila baca komen khas yang penterjemah dapatkan daripada Pak Marhaintua dalam kisah Dollah Komunis ini)
Keputusan menyingkir Singapura telah dilaksanakan pada Mei 1965, gara-gara tekanan yang menghantui Tunku disebabkan karenah perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang sedang mencuba ketika itu agar PAP menggantikan MCA sebagai parti sekutu Perikatan. Tunku tidak mahu melayan karenah Lee agar PAP menjadi parti utama orang Cina. Sewaktu itu Lee berlagak terlebih-lebih dalam merangka satu rencana membuat draf bagaimana Singapura patut keluar daripada Malaysia seandainya usaha beliau itu ditolak. Lee menjangkakan para menteri kabinet Malaysia dapat dipujuk menyebelahi karenahnya. Sebenarnya Lee bersikap 'sedikit-lebih' mengikut tafsiran Tunku sepertimana yang diceritakannya kepada saya ketika zaman persaraannya. Saya kerap menemui beliau sekali setiap minggu di rumahnya di Jalan Tunku. Apabila Lee mengunjukkan draf rencana penarikan Singapura kepada Tunku, beliau telah menandatanganinya dan meminta Lee mendapatkan tandatangan anggota kabinet beliau untuk menyatakan persetujuan yang sama.
Tunku telah bertolak ke London pada bulan Jun. Beliau telah diserang penyakit kayap dan telah dimasukkan ke London Clinic. Ketika itu PBB sedang bersidang dan Tun Dr. Ismail yang bakal menjadi timbalan perdana menteri telah menjadi ketua delegasi Malaysia. Tunku telah meminta Duta Malaysia di Belanda Datuk (gelaran beliau ketika itu) Philip Kuok datang ke London dan kemudiannya terbang ke New York membawa pesan kepada Tun Ismail agar singgah di London dalam perjalanannya pulang ke Malaysia. Tunku mahukan Tun Razak terbang ke London secepat mungkin. Tan Sri Philip yang hampir rabun pandangannya pada tahun 1980-an pernah mendapatkan khidmat saya untuk menulis 'memoir' beliau, pernah menyatakan bagaimana Tun Ismail yang merupakan rakan persekolahan dan sahabat karibnya tidak tahu menahu sebab-musabab arahan Tunku ketika itu. Tunku telah mengarahkan Tun Ismail terus pergi ke Singapura dan mendesak Mr. Lee menyerahkan dokumen persetujuan ahli kabinet Singapura mengenai perpisahan itu. Oleh kerana tidak ada sebarang dokumen rasmi mengenai perkara itu, adalah serba mungkin Dollah Komunis merujuk kepada satu surat yang ditulis pada tarikh yang lebih lewat pada kejadian itu -- selepas berlakunya satu perpisahan yang tidak dapat dielakkan. Ketika itu, segalanya sudah terlambat. Lagipun, apabila Tunku sudah membuat keputusannya, tidak mungkin di merobah pemikiran mengenai tindakannya.
Mr. Lee terjebak dalam satu perangkap bikinannya sendiri. Dia bergegas menelefon Ketua Setiausaha Kementerian Luar ketika itu yang akhirnya menjadi menteri luar Malaysia, Tan Sri Ghazali Shafie untuk campur tangan sambil menyebut dia tidak mengingini perpisahan dan Tunku dikatakannya tersilap tafsiran apa yang dimaksudkannya. Usaha Lee tidak berbaloi. Beliau tidak mahu mempercayai sesiapa kerana memikirkan perkara itu akan reda juga akhirnya. Apabila terserlah kemudiannya pada akhir Julai 1965 bahawa Tunku tidak mahu merobah pendiriannya, seperti pesanan Tun yang amat jelas mengenainya, barulah Mr. Lee mengumumkan perkara itu kepada ahli kabinetnya. Lee tidak mahu berpisah daripada Malaysia tetapi dia sudah tidak ada pilihan lain. Tetapi bukan semua anggota kabinet beliau sanggup menurunkan tandatangan mereka. Yang enggan ialah Timbalan Perdana Menteri, Dr. Toh Chin Chye dan Menteri Luar Mr. S. Rajaratnam. Dalam usaha terakhirnya Dr. Toh telah menulis sepucuk surat kepada Tunku dan berusaha bersemuka dengan Tunku untuk mengelakkan perpisahan itu. Tunku sanggup merobah pendirian hanya kalau Mr. Lee sanggup melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri. Sejurus pulang kembali, Dr. Toh mendapati Mr. Rajaratnam sudahpun menurunkan tandatangannya kerana tidak mahu berdegil bersendirian dalam hal itu. Demikianlah yang diceritakan oleh Rajaratnam ketika saya menemui beliau seperti biasa di Institute of Southeast Asia Studies yang terletak dalam kampus Universiti Kebangsaan Singapura. Ketika itu Rajaratnam adalah seorang fellow kanan tetap pada tahun 1980-an.
Demikianlah halnya pada 9 Ogos 1975, Singapura yang berlagak terjerit dan melalak tanpa kerelaannya, telah menjadi sebuah negara yang merdeka. Titisan airmata Mr. Lee Kuan Yew sewaktu itu memang ada ketulenannya. Terutama sekali sewaktu seorang wartawan India daripada 'The Statement' bertanyakan sebab-musabab berlakunya perpisahan yang mencetuskan kemerdekaan Singapura. Mr. Lee telah dinafikan keinginan mahu menjadi wakil terunggul masyarakat Cina di Malaysia, kerana dia tersilap langkah. Dia tidak dapat memahami sikap lemah lembut Tunku yang menjadi seorang patriak ketika itu sebenarnya telah membungkus kedegilannya yang sungguh perkasa, yang tidak pun dimilikinya. Lee tidak sedar bahawa Tunku dan bukannya Tan Sri Ghazali Shafie yang mengendalikan dasar luar Malaysia. Kerana itu apabila keadaan genting datang meruncing, tidak ada orang lain di rantau ini yang dapat menandingi Tunku dalam menentukan tindakan kerasnya. Kalau ada sesiapa yang memang digusari oleh Tunku, orang itu ialah Sukarno seperti yang terserlah ketika bermulanya proses konfrontasi yang mengganyang Malaysia. Tunku berjaya menguasai keadaan dan melemahkan Mr. Lee dalam urusan hubungan Malaysia-Singapura. Tidak ada alasan yang lain lagi. Dalam memoir Mr. Lee dia ada a menyebut akan keperkasaan Tunku sebagai kelemahannya juga dan dia mengakui fenomena itu walaupun sudah jauh terlambat tempohnya.
Kalau mahu dikaitkan juga penyakit kayap Tunku itu, memang jelas betapa dia amat berkeras ketika itu dalam menentukan Singapura terpaksa berpisah juga. Tunku mempunyai satu sifat yang sungguh bertanggungjawab dalam tugasnya. Kalaulah dia merasa gusar bahawa penyakit kayapnya itu akan mempengaruhi pendiriannya terhadap isu itu, sudah tentu dia melewatkan penetapan keputusannya. Tetapi, seperti yang diketahui dia memang tidak dihantui sebarang ilusi. Dengan hal demikian, adalah tidak adil untuk Dollah Komunis menyebut betapa Tunku telah bertindak secara tergesa-gesa menentukan nasib Singapura kerana wujudnya unsur penyakit yang dideritainya. Saya amat mengharapkan Tan Sri Abdullah sedar akan kesilapan ini dan balik ke persimpangan yang asal. Kami telah berkawan selama tiga dekad setengah. Persahabatan itu walaupun pernah dicemari beberapa perselisihan faham, tidakpun terputus selama ini. Beliau merupakan seorang Setiausaha politik yang dipercayai oleh Tun Abdul Razak. Saya yakin penahanan beliau sebagai seorang tahanan ISA di Kamunting adalah satu bebanan gara-gara tindak-tanduknya melaksanakan dasar Tun.
Kalau diimbau, kesilapan Abdullah ialah menjadi anggota Parlimen ketika penentangan terhadap Tun Abdul Razak dalam UMNO gara-gara dasar politik dan pembangunan negara ciptaan beliau yang sudah semakin sukar untuk dipatahkan. Apalagi dengan peristiwa kematian Tun pada bulan Januari 1976, yang mencetuskan suasana balas dendam yang semakin menggila jadinya. Abdullah menjadi seorang timbalan menteri ketika ditahan. Antara musuh ketat beliau ketika itu ialah Dato' Harun Idris (bekas Menteri Besar Selangor) dan Tan Sri Syed Jaffar Albar (ayah menteri luar yang sedia ada). Perdana Menteri yang baru ketika itu, Dato' Hussein Onn merupakan seorang aristokrat dan patriak yang dianggap sebagai pemimpin sementara sahaja. Seperti Tunku, Tun Hussein Onn memang mempunyai kecekalan yang sungguh perkasa dan amat yakin dengan segala keputusan yang dibuatnya. Hussein memang rapat dengan Mahathir timbalannya, yang pernah disingkir oleh Tunku daripada UMNO tetapi dipungut semula oleh Tun Razak. Tetapi, Dr. Mahathir tidak boleh campurtangan dalam pendirian Tun Hussein seperti yang sudah disedarinya kini, begitulah juga kedudukan timbalannya Dato Seri Abdullah Badawi. Mereka berdua pernah bersekongkolan menyokong Tun dalam usaha menjalin hubungan rapat dengan Moscow untuk melunturkan pengaruh Cina di kalangan rakyat Malaysia. Tetapi, itu satu kisah lain dalam perjalanan politik Malaysia yang mesti diceritakan satu hari nanti.
sumber : http://lamankm2.tripod.com/cgi-bin/m/KM2/7305.html