balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
BALING - Akibat cinta seorang wanita tempatan tidak menyangka dipergunakan suaminya yang merupakan warga asing dari Punjab.
Mangsa, Laila Ahmad (bukan nama sebenar), 45, berkata, dia mengenali suaminya ketika bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang, pada tahun 2009.
Menurutnya, pada tahun yang sama juga dia mendirikan rumah tangga kerana termakan pujuk rayu suaminya.
“Di awal perkahwinan, semuanya indah, dia melayan saya dengan baik dan amat menyayangi saya.
"Namun, semakin lama, hubungan semakin hambar. Kemudian, barulah saya sedar, saya hanya dipergunakan,” katanya.
Kata Laila, selepas empat tahun mendirikan rumah tangga dia baru menyedari bahawa lelaki itu mengahwininya bagi mendapat permit untuk tinggal di negara ini.
Jelasnya, ketika hidup bersama, dia yang menanggung semua perbelanjaan termasuk bil elektrik, air dan sewa di sebuah rumah pangsa di Pulau Pinang.
“Bukan itu sahaja, saya juga membelikannya sebuah kereta untuk urusan perniagaan, tetapi dia menjualnya malahan wang simpanan saya turut dikikis,” katanya yang kini pulang ke kampung halaman di Baling bagi menenangkan fikiran.
Laila berkata, ramai rakan-rakannya berhadapan nasib yang sama setelah berkahwin dengan warga asing.
“Selain dipukul, kami dilakukan seperti orang gaji, tenaga kami digunakan dan wang kami telah dikikis.
"Mereka langsung tidak takut dengan apa yang dilakukan malah mereka mengatakan, kami (isteri) tidak boleh ambil tindakan terhadap mereka,” katanya.
Ditanya mengapa dia tidak membuat laporan polis, Laila berkata, dia masih belum bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang selain malu dengan keadaan yang menimpa dirinya.
“Saya dedahkan perkara ini agar wanita lain tidak menjadi mangsa seperti saya.
“Kata-kata lelaki warga asing memang manis, tetapi kita yang akan merana pada kemudian hari,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/diperguna-suami-sendiri-1.133613