PDA

View Full Version : Majlis Perkahwinan Cara Islam


traderfox
10-10-2012, 07:54 PM
:)

http://ohtuhanku.com/wp-content/uploads/2012/06/kwen.jpg

Ramai anak-anak muda Islam yang berhasrat untuk bernikah merasa ghairah
dengan impian masing-masing untuk mengadakan kenduri kahwin mereka
mengikut ajaran sunnah. Malangnya mereka sendiri terkeliru dan tidak
tahu bagaimanakah bentuk kenduri kahwin yang mengikut sunnah nabi
salallahualaihiwassalam.

Ada yang berkata kenduri kahwin mengikut sunnah itu ialah dengan
mendapat restu ibubapa, ada yang berkata kenduri kahwin sunnah itu pula
adalah dengan mengadakan jamuan kambing kerana nabi suruh mengadakan
walimah (kenduri nikah) walaupun dengan seekor kambing.

Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud :
“ Adakanlah Walimah (kenduri kahwin) sekalipun dengan seekor
kambing.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

*Kambing bukan ukuran sunnah*

Walimah atau kenduri kahwin dianjurkan oleh Islam untuk dilaksanakan
sebagai tanda kesyukuran oleh pihak pengantin kerana telah diberikan
oleh Allah swt dengan rezeki pernikahan. Maka penganjuran walimah
(kenduri nikah) ini dilakukan semata-mata sebagai tanda kesyukuran
kepada Allah swt dan untuk berkongsi nikmat kebahagiaan dan kegembiraan
dengan orang-orang lain.

Apabila disebut sebagai tanda kesyukuran, maka ianya tidak pernah
dihadkan oleh Allah swt dan juga oleh rasulullah akan batas-batas nilai
kendurinya tetapi sebaliknya diberikan kemudahan kepada umat Islam untuk
mengadakan majlis kesyukuran nikah atau disebut sebagai walimah dan
kenduri nikah ini menurut kemampuan diri mereka sendiri.

Allah swt berfirman : “Kami tiada membebani seseorang melainkan
menurut kesanggupannya.” (Al-Mukminun : 62)

Rasulullah salallahualaihiwassalam sendiri pernah mengadakan majlis
kesyukuran atau kenduri kahwin dengan hanya menjamu kurma yang telah
dibuang bijinya dan dicampur susu atau gandum kepada para sahabat
radiallahuanhum sempena perkahwinan baginda dengan Shofiyah binti Huyai
bin Akhtab.

Oleh yang demikian, suka sekali saya katakan bahawa Sunnah yang pertama
bagi kenduri kahwin ialah “*Menzahirkan Kesyukuran kepada Allah swt*”
melalui jamuan makan kepada orang ramai dan memiliki rasa berterima
kasih serta menghargai nikmat perkahwinan yang telah diberikan sebagai
amanah Allah swt untuk saling bantu-membantu di atas taqwa bagi melayari
bahtera rumahtangga.



Perutusan Raja Sehari

Pada kebiasaannya cuti –cuti di hujung minggu atau cuti sekolah, ramai
yang mengadakan kenduri perkahwinan atau disebut juga dalam Islam
sebagai majlis walimatu urus.

Seminggu dua sebelum majlis ini berlangsung, tuan-tuan rumah akan sibuk
mengedarkan kad-kad jemputan kepada saudara mara, sahabat handai dan
jiran terdekat.

Bermacam corak kad jemputan diedarkan bergantung kepada status kewangan
bakal pengantin. Ada yang tebal, nipis, bewarna warni, berbau wangi dan
ada juga disertakan gambar pasangan pengantin dan sebagainya.

Kepada bakal pengantin, sebelum anda menempah kad jemputan kahwin
sukalah saya mengingatkan aagar kad jemputan perkahwinan yang bakal
dicetak itu tidak mengandungi ayat-ayat suci al-Quran / hadis waima
lafaz As-Salamualaikum warahmatullahi yang ditulis sepenuhnya dalam
bahasa Arab.

Jika saya menerima kad jemputan seperti ini biasanya saya akan kumpul
dan simpan dengan baik sebelum dibakar dan dihanyutkan ke laut.
Bayangkan bagi mereka yang tidak faham, tentulah kad-kad jemputan yang
mengandungi kalimah suci ini dibiarkan bersepah, dilangkah atau dibuang
ke dalam tong sampah.

Bukankah ini juga satu bentuk penghinaan kepada kalimah-kalimah suci
dalam Islam ?



Kenduri Yang Dilarang Hadir

Kepada mereka yang menerima jemputan kenduri perkahwinan, ingat bukan
semua jemputan tersebut wajib kita hadiri. Dalam Islam ada beberapa
majlis walimatul urus yang dilarang kita menghadiri seperti :

Pertama, jika dalam majlis tersebut ada makanan atau minuman yang
diharamkan seperti arak dan sebagainya.

Sabda Rasulullah saw, Maksudnya : Barangsiapa yang beriman kepada
Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia duduk di suatu majlis
yang di dalamnya di minum minuman khamr. ( Riwayat At-Tabrani)

Kedua, jika kenduri itu dianjurkan oleh tuan rumah yang berlatar
belakangkan ahli maksiat seperi kaki judi, kaki nombor, kaki loteri,
kaki zina, bapa ayam, penagih arak dan sebagainya.

Ketiga, jika di dalam majlis itu ada pergaulan bebas lelaki dan
perempuan seperti bertukar-tukar pasangan, atau lelaki duduk
bersebelahan dengan wanita yang bukan mahram (boyfriend dan girlfriend)
dalam keadaan kaum berpakaian menjolok mata, memakai minyak wangi yang
semerbak baunya dan bergurau senda tanpa adab dan sopan.

Keempat, jika majlis itu ada pengasingan antara orang kaya dan
miskin. Orang-orang kaya disediakan tempat yang selesa seperti di bawah
khemah yang berkipas serta hidangan lauk pauk yang lazat manakala orang
miskin atau kebanyakkan duduk di bawah khemah yang sempit dan hidangkan
makanan yang ‘biasa-biasa’ sahaja.

Sikap ini bertentangan dengan ajaran Islam yang menyatakan bahawa semua
manusia adalah sama di sisi Allah SWT melainkan taqwa.

Dan yang paling hina sekiranya tuan rumah hanya mengundang orang
kaya-kaya sahaja manakala orang miskin tidak dijemput sama sekali.

Sabda Rasulullah saw, Maksudnya : Seburuk-buruk makanan ialah
makanan walimah yang diundang orang-orang kaya sahaja dan
ditinggalakan orang miskin.

Kelima, jika majlis itu ada upacara dan kepercayaan khurafat yang
bertentangan dengan ajaran Islam seperti upacara menepung tawar.

Upacara ini biasanya dilakukan dengan semangkuk air yang dicampur dengan
pelbagai campuran seperti air beras, limau purut yang dihiris dan
disiramkan dengan susunan dedaun seperti daun setawar, sepulih dan sedingin.

Sebelum dimulakan upacara siraman, ia terlebih dulu ditabur beras kunyit
dan bertih. Digunakan beras kunyit kerana hendak memberi semangat kepada
pengantin berdasarkan kekuningan semangat padi dan juga memelihara
pasangan pengantin daripada roh jahat.

Jelas majlis seperti ini adalah haram, wajib dijauhi kerana mempunyai
unsure syirik dan khurafat.

Keenam, jika majlis itu mempunyai unsur-unsur hiburan yang melampau
seperti menggunakan system audio yang membingitkan telinga sehingga para
tetamu susah untuk berbual mesra dan bertegur sapa.

Suasana ini juga kadang-kadang berlarutan sampai ke malam sehingga
menganggu jiran-jiran yang mempunyai anak kecil. Ada juga sesetengah
tuan rumah menganjurkan joget lambak, pertandingan karoeke yang mana
kesemua ini melalaikan dan menjadikan majlis itu tidak diberkati Allah SWT.

Selain itu, ada juga tuan-tuan rumah yang mengupah penyanyi wanita
dengan pakaian yang menjolok mata seterusnya mendendangkan lagu-lagu
yang tiada kena mengena dengan majlis yang diadakan.

Nyanyian artis melalui CD atau DVD. Sesuatu yang mencacatkan keberkatan
majlis. Bila ditanya”Mengapa begitu?” Jawapan yang diberi “Sesekali jer
seumur hidup”. Jawapan yang tak sepatutnya. Namun begitu ada
juga *majlis kenduri* yang berlangsung penuh dengan kawalan hukum.
Tahniah atas keprihatinan itu.

Setiap bangsa ada adat dan cara hidup masing-masing.Ada yang baik dan
ada yang sebaliknya. Pada kebiasaannya adat budaya sesuatu bangsa itu
diwarisi dari generasi ke generasi atau diambil dari bangsa lain. Adat
ini dijaga dan dipelihara sebaiknya sehingga ada yang mengganggapnya
sebagai warisan bangsa atau kaum.

Realiti ini walaupun tidak dikira pelik pada kebanyakkan orang, tetapi
kepada umat islam adalah sesuatu yang sangat jelek dan pelik. Bahkan
lebih dari itu lagi iaitu mungkar. Mengapa begitu? Alasannya ialah Umat
Islam agamanya Islam, Islam adalah cara hidupnya untuk selama-lamanya,
mengapa hendak turun dari ketinggian Islam itu ke tahap yang lebih rendah?

Penyakit meniru cara hidup orang kafir ini atau dipanggil membudayakan
budaya kafir telah membarah di dalam kehidupan orang-orang Islam
sehingga merugikan Umat Islam itu sendiri. Contoh yang dapat dilihat
ialah dalam pelaksanaan majlis *perkahwinan*. Kenduri *kahwin* yang
disyariatkan Islam itu sudah bertukar wajah. Menukarkan yang haram
kepada boleh umpamanya percampuran lelaki dan perempuan yang tak
sepatutnya dan penganjuran tarian joget lambak. Ianya masih berlaku
dalam masyarakat islam kini. Dengan keadaan ini jadilah *Majlis
kahwin* itu jauh dari hukum syarak.

Oleh itu di sini akan dinyatakan ciri-ciri majlis *perkahwinan* yang
sepatutnya dilakukan oleh orang islam sebagai peringatan dan bertepatan
dengan ajaran Nabi Muhammad S.A.W agar majlis tersebut menjadi satu
bentuk ibadat kepada Allah S.W.T dan sebab untuk mendapat redha dan
taufikNya.

Kenduri *kahwin* dianjurkan adalah untuk mewar-warkan kepada orang ramai
bahawa seseorang itu telah bernikah. Hal ini bertujuan mengelakkan buruk
sangka dan umpatan jika orang disekeliling tidak tahu

Sebenarnya Islam tidak melarang umatnya berhibur, tetapi biarlah hiburan
itu terkawal dengan adab sopan. Manakala lagu-lagu itu pula mendekatkan
orang ramai kepada Allah SWT seperti nasyid, qasidah dan sebagainya.

Manakala amalan berkompang dan menyanyi sambil mengarak pengantin
hukumnya adalah harus sekadar mewujudkan suasana gembira.

traderfox
10-10-2012, 07:55 PM
*Syukur tidak bernilai jika ada perbuatan kufur*

Macam mana anda boleh mengatakan bahawa jamuan pernikahan ini sebagai
syukur dan menzahirkan rasa terima kasih kepada Allah swt apabila
keluarga pengantin lelaki dan keluarga pengantin perempuan sejak dari
awal-awal lagi kufur kepada Allah swt dan tidak menghargai nikmat
ukhuwah dan perkenalan anak-anak mereka dengan meletakkan harga
maskahwin dan belanja hantaran nikah yang begitu tinggi kerana
beranggapan status dan kedudukan anak-anak mereka perlu diberi perhatian
dengan menjadikan hantaran mahal dan belanja nikah sejajar dengan kedudukan.

Siapa anda berbanding Nabi ? Siapa anak gadis anda berbanding anak-anak
rasulullah ? Sedang Fatimah kekasih hati rasulullah pun bernikah dengan
belanja sekadar hasil gadaian dari baju besi !

Syukurlah kepada Allah swt kerana telah menyelamatkan anak-anak anda
daripada dosa zina, syukurlah kepada Allah swt kerana telah menemukan
jodoh kepada anak-anak gadis anda dengan lelaki yang sudi menikahi dan
menjaganya. Buktikanlah tanda syukur dengan mempermudahkan nikah mereka
dan mengurangkan belanja perkahwinan mereka agar tidak sampai kepada
membebankan bakal pengantin lelaki dan keluarga pasangan.

Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Sebaik-baik
pemberian mahar adalah yang paling memudahkan.” (Hadis riwayat Hakim)

Manakala dalam hadis yang lain menyebut tentang betapa Islam mengalakkan
mempermudahkan urusan agama seperti kenduri kahwin dan sebagainya agar
ianya dapat dilaksanakan sekadar menurut kemampuan manusia sehingga
tidak perlu dan tidak patut urusan teknikal seperti ini menjadi
sebab-sebab halangan pernikahan.

Maka zahirkanlah kesyukuran wahai ibubapa dengan memudahkan urusan
mengadakan kenduri perkahwinan ini sekadar kemampuan pihak yang
menganjurkannya kerana itulah sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam.

Jauhilah pembaziran dan kemewahan yang tidak perlu kerana sesungguhnya
seburuk-buruk belanja pernikahan ialah pada jalan kemasyhuran dan
kebesaran yang membawa kepada kemurkaan tuhan.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan berikanlah kepada
keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan
orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu berbelanja secara
boros terhadap hartamu. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah
saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada
Tuhannya.” (Al-Isra : 27)

Sabda rasulullah salallahualaihiwassalam : “ Tidak akan masuk syurga
orang yang di dalam hatinya terdapat sifat sombong sekalipun hanya
sebesar zarah.” (hadis riwayat Muslim)

Usahlah bersombong dan berbongkak dengan majlis keraian dan sambutan
pernikahan yang meriah dan gemilang kerana kebahagiaan anak-anak dan
mereka yang bernikah bergantung kepada keredhaan Allah swt bukannya
kepada kegemilangan majlis tersebut.



*Yang kebulur tidak dijemput yang kenyang dan gemuk itu pula yang diajak
datang*

Sudah jadi budaya orang zaman sekarang apabila mereka berasa mulia
dengan kedatangan orang-orang kaya dan pembesar-pembesar manusia di
dalam majlis mereka sekalipun dikalangan muda-mudi yang bernama sunnah.

Sedangkan baginda rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda
: “Janganlah bersahabat kecuali dengan orang-orang yang beriman dan
janganlah memakan hidangan kamu kecuali orang yang bertaqwa.” (hadis
riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Jemputlah orang yang bertaqwa, anak-anak orang susah dan janda serta
fakir miskin untuk mendatangi hidangan jamuan pernikahan kerana itulah
sunnah dan bukannya menjemput mereka sebagai tetamu sampingan anda
tetapi sebaliknya kepada merekalah jamuan pernikahan itu sepatutnya
diadakan.

Firman Allah swt yang bermaksud : “Tahukah kamu (orang-orang) yang
mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, Dan
tidak menganjurkan memberi Makan orang miskin.” (Al-Ma’un : 1-3)

Sabda rasulullah salallahualaihiwassalam lagi : “Seburuk-buruk
makanan yang dijamu ialah hidangan dalam majlis kenduri perkahwinan
apabila orang-orang kaya dijemput dan orang-orang miskin tidak
dijemput.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ingatlah selalu dalam Islam VVIP bagi umat ini ialah orang yang
bertaqwa, orang alim dan anak-anak yatim serta fakir miskin dan mereka
yang berada di dalam kesusahan.

Mereka inilah VVIP dan orang besar yang perlu diberi perhatian kerana
rezeki dan pertolongan Allah swt kepada anda sebenarnya bergantung
kepada mereka.

Sabda rasulullah salallahualaihiwassalam : “Tidaklah Kamu diberikan
pertolongan dan rezeki oleh Allah melainkan kerana bantuan kamu
kepada orang-orang yang lemah di sisi kamu.” (hadis riwayat Bukhari)

Anak-anak yatim itu bukan tetamu sampingan tetapi merekalah tetamu utama
dan ini ialah Sunnah dalam mengadakan jamuan pernikahan.

Apabila prinsip-prinsip Sunnah di atas telah terpelihara seperti menjaga
kebajikan orang-orang susah, mencapai maksud kesyukuran melalui kenduri
perkahwinan yang diadakan maka janganlah pula anda yang menganjurkannya
kemudian mencemari majlis untuk mensyukuri nikmat Allah swt tersebut
dengan maksiat.

traderfox
10-10-2012, 07:55 PM
*Warna-warni kenduri perkahwinan di Malaysia*

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan janganlah kamu berhias dan
bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu.”
(Al-Ahzab : 33)

Kain satin yang licin sehingga mengundang mata-mata liar untuk
memandang, baju kurung dan kain sampin yang dipakai sebagai hiasan
kemegahan semuanya bukanlah membawa kepada kesyukuran dan kegembiraan
yang dibenarkan. Dipersilakan buat pengantin untuk mengadakan jamuan
dengan menjemput artis nasyid untuk menghiburkan tetamu, atau permainan
akrobatik, wayang kulit, ceramah agama sebagai pengisian majlis, silakan
kerana ianya bukan bid’ah yang dilarang bahkan termasuk adab dan akhlak
pihak penganjur majlis untuk menghiburkan tetamu.

Adakanlah syair dan pertandingan berbalas pantun, ya silakan kerana
tiada kesalahan.

Tetapi pakaian anda yang berkilau-kilauan, sendat kain satin dan baju
kurung yang cantik mempesonakan itu sudah bukan sahaja menjadi bid’ah
yang tercela bahkan termasuk tabarruj yang diharamkan.

Asingkanlah tempat duduk lelaki dan wanita dalam majlis kerana Allah swt
berpesan kepada kita supaya saling menundukkan pandangan dan menjaga
kehormatan. Jauhilah ikhtilat (percampuran bebas) lelaki dan wanita yang
sering wujud dalam majlis-majlis perkahwinan. Malulah kerana
sesungguhnya malu itu sebahagian daripada Iman.



*Kenapa kau tabarruj wahai pengantin ?*

Allah swt berfirman : “Wahai anak Adam, Sesungguhnya Kami telah
menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah
untuk perhiasan. dan pakaian takwa Itulah yang paling baik. yang
demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah,
Mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Al-A’raaf : 26)

Raja sehari bukan daripada adat dan amalan umat Islam bahkan bukan
sekali dalam amalan rasulullah salallahualaihiwassalam. Pada hari
perkahwinan dan hari jamuan pernikahan bukan engkau yang makan dan
dilihat oleh orang ramai atau bersanding dan didatangi oleh orang
kebanyakkan tetamu lelaki dan perempuan.

Bukan engkau yang makan tetapi harus orang yang susah itu yang makan dan
engkau wahai pengantin seharusnya tunggu dan tidak makan kerana melayani
mereka. Itulah sunnah dan keraian sebagai tanda kesyukuran.

Pengantin jadi pelayan dan melayani tetamu kerana itulah sunnah walimah
pernikahan.

Sahl bin Saad ra memberitahu bahawa Abu Usaid as-Sa’idi mengundang
rasulullah ke majlis jamuan pernikahan beliau dan ketika itu
isterinya yang menjadi pengantin perempuan itulah yang sibuk
melayani tetamu dan keperluan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim)

Beza sunnah dan bid’ah ialah apabila pengantin yang melahap sakan, makan
dengan hidangan mewah yang berbeza dari tetamu yang lain sementara orang
ramai berdiri meraikan mereka konon-kononnya merekalah raja seharian.

Itulah pembuat bid’ah di kalangan orang-orang Sunnah, mentah akal dan
lemah pemikiran dalam memahami sunnah beragama dan bukanlah mereka
pemuda dan pemikul amanah ummat, sekali tergoda oleh pakaian yang smart
habis jatuh kredebiliti dan ketegasan beragama kepada adat dan khurafat.

Kesimpulannya, sukalah sekali saya rumuskan. Yang sudah itu sudahlah,
yang akan datang maka perbaikilah. Masih ada masa untuk kita semua insaf
dan bertaubat sebelum ajal datang menghambat.

Lurus katakan lurus, yang bengkok katakan bengkok. Jelaskanlah yang
sunnah daripada yang bid’ah agar kelak perkahwinan anda dapat membawa
berkat dan semoga rumahtangga anda aman dan selamat.

traderfox
10-10-2012, 07:56 PM
*Perkara-perkara Bertentangan Islam Dalam Majlis Kenduri Kahwin*

Islam merupakan agama yang mudah dan tidak membebankan. Membicarakan isu
majlis kenduri kahwin (walimah) daripada konteks Islam adalah mudah. Isu
Islam sebagai agama yang mudah dapat difahami berdasarkan hadis yang
berbunyi :

“Dari Abu Hurairah r.a, katanya Nabi SAW bersabda maksudnya :
“Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barangsiapa
memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh kerana
itu, kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau mendekati
mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta
beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang
dan sebahagian malam.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, majlis kenduri kawin (walimah) daripada konteks
Islam tidaklah memberati para penganutnya dalam urusan pelaksanaannya.
Islam menggalakkan penganutnya untuk mengadakan walimah berdasarkan
kemampuan. Walaubagaimanapun, Islam begitu mencela perbuatan yang
membazir dalam setiap perkara yang dilakukan berdasarkan ayat firman
Allah SWT maksudnya :

“Berikanlah kepada kaum-kerabat haknya masing-masing dan kepada
orang miskin dan orang musafir dan jangalah engkau membazir(boros)
dengan melampau (Surah al-Isra’ ayat 26)

Terdapat banyak perkara-perkara bertentangan dengan ajaran Islam semasa
di adakan majlis kenduri kawin di dalam masyarakat kita. Sebagai seorang
muslim-mukmin yang beriman dan bertakwa kita perlulah menjauhkan diri
daripada perkara-perkara yang bertentang dengan ajaran Islam. Jika boleh
di elakkan maka elakkanlah semoga kita mendapat keredaan Allah SWT.

Oleh kerana majlis kenduri kawin adalah sebagai satu ibadah (meraikan
tetamu dengan majlis jamuan) selepas majlis akad nikah dijalankan, maka
perlulah kita berwaspada supaya ibadah yang kita baru tunaikan tidak
dicemari dengan kemugkaran dan mendapat kemurkaan Allah SWT.



Perkara-perkara yang bertentangan tersebut adalah seperti berikut :

*Pertama : Adakah hantaran belanja termasuk di dalam ajaran Islam?*

Setelah merujuk dalil berkenaan perkara ini, sememangnya hantaran
belanja tidak termasuk dalam ajaran Islam. Islam hanya meminta seorang
lelaki yang ingin mengahwini seorang perempuan untuk membayar maskahwin
sahaja. Maskahwin ini boleh terdiri dari emas, wang ringgit atau sekadar
bacaan dari al-Quran.

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya
dengan sebab perkahwinan. Firman Allah SWT. yang bermaksud :

” Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka “. (
Surah An-Nisaa’ ayat 4 )

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :

“Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang
diperbuat daripada besi .” ( Hadis Riwayat Bukhari )

Dari hadis di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada
apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang,
barang atau sesuatu yang bermanfaat sebagaimana diberitakan Rasulullah
SAW pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun
untuk dijadikannya maskahwin lalu baginda bertanya kepada lelaki itu,
adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat al-Quran, lelaki itu
menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Nabi SAW pun
mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan
kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk
menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di
atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut
dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang
menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: ” Sebaik-baik
maskahwin ialah yang lebih rendah “. ( Hadis Riwayat Abu Daud )

Dan sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: “Sesungguhnya yang besar
berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya “. ( Hadis Riwayat Ahmad )

Maskahwin ini yang bakal diterima oleh bakal isteri menurut ulama tidak
boleh diambil oleh ibu bapa wanita atau oleh bakal suaminya. Maskahwin
ini tidak boleh digunakan untuk majlis jamuan makan kenduri kahwin tanpa
kebenaran anak perempuan yang berkahwin.

http://ohtuhanku.com/wp-content/uploads/2012/06/hantaran.jpg

Hantaran belanja yang kini mencecah belasan ribu ringgit Malaysia adalah
tambahan adat Melayu yang bukan untuk memudahkan proses berkahwin tetapi
sebenarnya adalah untuk menyusahkan orang yang ingin berkahwin.

Jika hantaran tidak terlalu tinggi dan bersesuaian dengan keadaan semasa
dan pihak lelaki berkemampuan membayarnya tidaklah menjadi satu
kesalahan dan ianya diharuskan.

traderfox
10-10-2012, 07:58 PM
Cuba lihat situasi dibawah

Ia menceritakan bagaimana seorang pelajar perempuan tahun akhir di
sebuah universiti yang hampir membunuh diri kerana tertekan setelah
ditinggalkan kekasihnya. Kemudian beliau mengubah kehidupannya
serta-merta menjadikan beliau gadis yang paling bahagia di bumi
Allah ini dengan perkahwinan di usia awal.

Mungkin berguna sebagai motivasi diri di kala sunyi. Bacalah!

***********************************************

Saya berusia 21 tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami
saya berusia 23 tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar.
Jadi, mengapa berkahwin? Kalau ikut kata mak ayah, “Nak bagi bini
makan apa? Pasir?”

Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin, saya pernah
teruk dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun dari tarikh
kami ‘declare’, untuk bersedia untuk berkahwin. Hampir 3 tahun, saya
ditinggalkan untuk perempuan lain. Kecewa…? Sudah tentu. Jujur, saya
hampir bunuh diri. Saya mengalami tekanan hidup sehingga tidak
berhubung dengan dunia luar.

Tapi selepas itu baru saya sedar kehadiran suami saya yang sudah 4
tahun menunggu peluang. Pada mulanya, saya ingat sekadar ‘cinta
rebound’, tetapi selepas 2 bulan berkenalan dan bercintan, suami
saya melamar untuk berkahwin. Pada mulanya, saya ingat satu gurauan.

Akhirnya si dia berani menghubungi ayah saya dan minta izin untuk
berkahwin kerana takut kehilangan saya lagi. Ayah saya pun dahulu
berkahwin ketika belajar; ketika beliau tahun 1 peringkat ijazah.

Suami saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya cuma tinggal 2 bulan
untuk mengakhiri pengajian. Ayah saya bersetuju memandangkan saya
sudah kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. Akhirnya, kami
berkahwin. Dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada
hantaran, tiada majlis, kami bernikah.

Simple bukan? Kenapa perlu pening?

Kalau anda lelaki, anda mesti ingin berikan segala yang terbaik
untuk bakal isteri anda.

Dan, kalau anda perempuan seperti saya, semestinya inginkan hantaran
yang tinggi (lulusan ijazah sekarang, hantaran RM10K ke atas). Perlu
tidak?

Maaf perempuan, kalau terasa. Saya bukan jual diri, saya tidak
perlukan hantaran RM10-20K. Saya tidak letak harga untuk nilai diri
sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah kalau kita kahwin cara
Melayu; bukan cara Islam.

Saya perempuan lulusan ijazah, saya ada tulang 4 kerat, dan saya
boleh berusaha, kenapa perlu mengharap dengan lelaki? Suami bukan
untuk dibebani, tapi untuk disenangi. Isteri bukan untuk dibeli,
tapi untuk dikasihi.

Kos kahwin sekarang paling rendah pun RM20K serba serbi. Hantaran,
majlis, belum baju, pelamin. Tapi cuba fikir, perlu tidak? Baju raya
kan masih ada, cantik lagi. Kasut raya pun masih baru.

Kenapa perlu buat majlis di hotel, dewan orang ramai kan ada? Kalau
rasa sangat mahal untuk katering, boleh upah orang masak, tinggal
sediakan bahan dan peralatan. Bersanding tak perlu, buat penat badan
duduk macam tunggul depan orang.

“Seganlah. Nanti orang kata apa.”

“Isk, buat malu belajar tinggi-tinggi, tak dapat hantaran.”

Hai, ni mentaliti Barat. Bagi yang beragama Islam, ingat rukun nikah.

Tanggungjawab selepas kahwin yang penting. Lebih baik duit sewa
pelamin jadi duit persiapan untuk anak pertama. Prioritikan
penggunaan duit anda. Kos bersalin bukan murah. Kalau di hospital
kerajaan, paling kurang perlu ada RM400-500. Tapi di hospital
swasta, minimum RM2000. Kos ada anak sangat tinggi sekarang.

Pernah cuba lihat harga setin susu bayi di pasar? Harga lampin pakai
buang? Dan sekarang, anda masih terfikir pelamin itu penting? Ini
tak kira duit nak beli kenderaan, beli rumah. Pening!! Jadi jangan
bebankan diri anda dengan majlis perkahwinan yang membazir dan tidak
perlu.

Saya bahagia sekarang. Boleh keluar dengan suami tanpa rasa takut
dan malu, disentuh lelaki bukan mahram. Dan suami saya tidak perlu
takut saya diambil lelaki lain seperti dahulu. Apa semua yang
pasangan bercinta lakukan, kini kami lakukan dengan halal. Dan kami
boleh lakukan lebih dari itu, dengan halal. Tidak perlu risau. Kami
aman dan bahagia. Saya dan suami masih bercinta. Masih belajar
mengenal sesama sendiri. Dan percayalah, tak guna bercinta lama-lama.

Seganlah keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk anda. Saya
dan suami, masih seperti pasangan yang baru bercinta. Saya mampu
tanggung hidup sendiri, kerja dan cari duit sendiri. Buat apa
menyusahkan suami? Dan suami berusaha belajar bersungguh-sungguh
(bagi pelajar perubatan, anda faham maksud saya), untuk mendapat
keputusan yang cemerlang. Saya tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya
jujur cintakan suami saya. Saya tak ingin jadi beban, cukup asal dia
berasa senang dengan saya.

Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang ada saya terima.

Bakal-bakal isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami anda. Dan
bakal-bakal suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima kekurangan
dan kelemahan pasangan anda. Persamaan membina keserasian, perbezaan
itu melengkapkan.

traderfox
10-10-2012, 07:58 PM
Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa. Berkahwinlah!
Semoga anda semua merasa tenang dan bahagia.

“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan
rahmat-Nya bahawa Dia menciptkan untuk kamu (wahai kaum lelaki)
isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu BERSENANG
HATI dan hidup MESRA dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami
isteri) perasaan KASIH SAYANG dan BELAS KASIHAN.” (Surah Ar-Rum, 21)

Sumber: Fitri Hadi: Betul apa yang dia kata tu. Perkahwinan hanya
sekali sahaja sedangkan kehidupan selepas perkahwinan itu sehingga
akhir hayat. Cuba fikir mana lagi penting?

Prinsip ajaran Islam itu mudah dan sederhana. Wang hantaran bukanlah
sesuatu yang wajib diberikan kepada pengantin perempuan tetapi ianya
dibenarkan di dalam Islam sebagai bantuan kewangan untuk majlis
perkahwinan dengan syarat selagi tidak melampau. Maksud melampau ialah
sehingga membebankan bakal pengantin atau mereka yang berkaitan.
Contohnya hingga terpaksa berhutang untuk menyediakan jumlah hantaran
tersebut.

Berbeza dengan mas kahwin (mahar) yang merupakan satu pemberian wajib
daripada seorang suami kepada isterinya. Malahan isteri dibenarkan
menolak permintaan suami pada ‘malam pertama’ sekiranya bayaran mas
kahwin masih belum diberikan.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk
menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di
atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut
dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang
menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.


Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sebaik-baik
maskahwin ialah yang lebih rendah “. ( Riwayat Abu Daud ) , Dan
sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya yang besar
berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya “. ( Riwayat Ahmad )


Dalam situasi masyarakat sekarang, telah berlaku satu fenomena yang
kontra. Pemberian wajib (mahar) diletakkan dalam jumlah yang terlalu
sedikit sedangkan pemberian ‘hantaran’ yang harus diletakkan dalam
jumlah yang tinggi. Wang hantaran inilah yang menjadi masalah kepada
kaum lelaki sekarang untuk berkahwin. Masyarakat seolah-olah berlumba
untuk meletakkan Wang hantaran paling tinggi kepada anak gadis mereka.
Sikap sebegini dilarang oleh agama.

Masyarakat kita hari ini semakin hari semakin memberatkan dan
menyulitkan perkahwinan dengan meletakkan hantaran perkahwinan yang
tinggi. Jika ditakdirkan wanita tersebut mempunyai kelayakan ijazah
tinggi, maka lagi tinggilah belanjanya. Bagi keluarga dan mungkin wanita
itu sendiri, beranggapan bahawa dengan belanja yang tinggi, masyarakat
akan memandangnya dengan nilai ‘value’ yang tinggi.

Apabila sudah ramai muslim yang berfikir dan bertindak sedemikian,
mereka seperti “membudayakan” kebiasaan meminta ‘hantaran’ yang
berlebih-lebihan. Akibatnya ramai golongan muda yang tidak mampu
mendirikan rumah tangga, penyakit moral bertambah luas dan akhirnya
banyak sekali lelaki dan wanita yang hidup merana disebabkan oleh”
krisis perkahwinan”.

http://www.youtube.com/watch?v=ELQdyViYrVg

*Kedua : Adakah bersanding merupakan ajaran Islam?*

Setelah dikaji dari sumber yang sahih dari hadis dan sunnah, sememangnya
adat ini juga tidak bersumber dari ajaran Islam. Ia lebih bersumberkan
ajaran dari agama Hindu. Malahan adat tepung tawar , beras kunyit yang
berasal dari ajaran Hindu masih lagi dikekalkan pada hari ini.

Di dalam Islam tidak disyariatkan amalan bersanding. Namun jika
bertujuan sebagai kenang-kenangan dan mahu memperkenalkan pengantin yang
bergelar raja sehari kepada kaum kerabat ia diharuskan.

Namun ia perlu mematuhi beberapa syarat iaitu pasangan pengantin
hendaklah menutup aurat dan tidak dipertontonkan secara terbuka kepada
yang bukan mahram.

Kesilapan terbesar dalam upacara bersanding dalam masyarakat melayu hari
ini ialah wujudnya pelbagai kemungkaran dan maksiat seperti pendedahan
aurat secara terbuka oleh pasangan pengantin. Begitu juga perihal
bersalaman antara pihak pengantin dengan mana-mana lelaki atau perempuan
yang bukan mahramya

Apa yang berlaku semasa majlis bersanding ini lebih kepada pembaziran
dan sesungguhnya didalam al-Quran , Allah SWT menyatakan bahawa orang
yang membazir adalah saudara syaitan. Kerana kos yang tinggi akan
digunakan untuk menyiapkan pelamin dan peralatannya sedangkan wang
tersebut tidak perlu dibazirkan di atas perkara yang tidak berfaedah.

Walaupun niat kita mengadakan upacara persandingan dengan niat yang baik
iaitu untuk meraikan pasangan pengantin, namun sekiranya upacara itu
dicemari oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan agama Islam, maka
secara tidak langsung upacara tersebut salah disisi agama.

Menurut Prof. Yusof Qardhawi di dalam bukunya Fatwa Mu’asirat dan
Halal dan Haram fil Islam, halaman 36. : “Niat yang baik tidak akan
menghalalkan yang haram”

Jika terdapat majlis makan berdamai semasa majlis kenduri kahwin di
antara pengantin lelaki dan perempuan dan keluarga kedua-dua pihak maka
majlis seperti ini dibolehkan kerana mendatangkan kebaikan untuk
mengeratkan silaturahim di antara dua keluarga yang baru berkenal-kenalan.

Berinai adalah salah satu amalan semasa majlis perkahwinan. Inai bagi
perempuan dibolehkan kerana tiada larangan dan wanita-wanita di zaman
salaf berinai dan Nabi SAW tidak menegahnya, malah menyuruhnya, dari
Aisyah ra :

“Nabi SAW melihat tangan di sebalik tirai dan berkata, “Apakah ini
tangan lelaki atau perempuan?” maka dikatakan itu tangan perempuan,
maka Nabi SAW pun bersabda maksudnya : ” Jika kamu seorang
perempuan, pasti kamu akan mengubah warna kuku kamu (dengan
inai).” (Hadis RiwayatAbu Daud, 4166) dan (Hadis Riwayat Nasa’i 5092)

Walau bagaimanapun berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua
tangan dan kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram. Di antara dalil
yang mengharamkan lelaki berinai ialah hadis sahih yang diriwayatkan
oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim: Daripada Anas dia berkata:

“Bahawa Nabi SAW melarang kaum lelaki memakai za’faran (kuma-kuma).”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebelum bersanding, biasanya pasangan pengantin akan berkurung dalam
bilik untuk di dihias oleh tukang andam. Kadang-kadang ia memakan masa
yang agak lama sehingga berjam-jam.

Di zaman dahulu kerjaya mengandam ini biasanya dimonopoli oleh kaum
wanita, tetapi zaman sekarang sudah ramai lelaki turut terlibat dengan
kerjaya yang lumayan ini. Yang menganehkan, biasanya tukang-tukang andam
dari kaum lelaki ini berwatak lembut seperti wanita (pondan) !

Sewaktu di andam, ada pengantin wanita yang sanggup mendedahkan auratnya
dari hujung kaki ke hujung rambut untuk dihias oleh si tukang andam.

Ada juga pengantin yang sebelumnya istiqamah memakai tudung, tetapi di
hari persandingan, mereka membuka tudungnya kerana menganggap hari itu
adalah detik yang paling bersejarah dalam hidupnya. Pendekata segala
kecantikkan di wajah perlu dipamerkan sehabis-habisnya.

Kemudian pasangan pengantin akan memperagakan pelbagai fesyen untuk
bergambar seperti memakai pakaian punjabi, sari, cheongsam, minang ,
jawa dan bermacam-macam lagi. Kadang-kadang pakaian yang diperagakan
menampakkan susuk badan dan mendedahkan aurat.

Dalam Islam, adalah haram kaum wanita menghias diri dihadapan orang
ramai dengan melampaui batas melainkan di hadapan suami. Amalan ini
disebut sebagai tabarruj. Firman Allah SWT,

“Janganlah kamu bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah
dahulu.” (Al-Ahzab: 33)

Selain itu terdapat juga pengantin perempuan yang mencukur bulu kening
supaya kelihatan lebih cantik dan menawan semasa bersanding. Perbuatan
ini adalah haram kerana ia mengubah ciptaan Allah SWT.

http://www.youtube.com/watch?v=Y305oJb4jTk&feature=player_embedded
http://www.youtube.com/watch?v=iIYFPEZSWwY&feature=player_embedded
http://www.youtube.com/watch?v=n1o09eAxMiE&feature=player_embedded


*K**etiga : Wajarkah menyediakan tepak sirih dan sirih junjung?*

Pada zaman dahulu rombongan pengantin lelaki membawa tepak sirih dan
sirih junjung adalah bertujuan semoga semua ahli rombongan dan pihak
tuan rumah dapat bersama-sama makan sireh, maklumlah majoriti orang
zaman dahulu memang makan sireh. Apa perlunya pada zaman sekarang? Beli
sireh, upahkan orang menyusunnya, usung ke hulu dan ke hilir sebagai
tontonan dan akhirnya dibuang begitu sahaja! Adalah jauh lebih baik
rombongan pengantin lelaki membawa makanan atau buah-buahan sebagai
hadiah kepada pihak pengantin perempuan. Sirih junjung dikira sebagai
barang membazir dan menyusahkan sahaja.

http://www.youtube.com/watch?v=e445vVrtvPs&feature=player_embedded

*Keempat : Apakah sebenarnya tujuan pengantin perempuan bersolek
(berlebih-lebihan) di majlis perkahwinan ini?*

Di samping itu, perbuatan andaman yang berbentuk “li tadlis” mengabui
atau merubah kecantikan yang sebenar juga dilarang sama sekali dalam
Islam malah ianya adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis
riwayat Muslim.

Dari Abdullah Ibn Mas’ud r.a katanya : “Allah melaknat wanita yang
mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat
demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka,
wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan
cantik yang merubah kejadian Allah.”

Apa yang jelas dari bersolek adalah satu dosa kerana termasuk dalam
“Tabarruj” dan melakukan sesuatu untuk mendapat pujian adalah riak.
Semua perkara ini adalah perbuatan mungkar yang membawa dosa dan
dilarang oleh Allah SWT . Jika bersolek sekadarnya dan tidak nampak
bedak yang tebal dan tiada perhiasan yang berlebihan tidaklah dilarang.



*Kelima : Apakah tujuan membuat majlis kenduri kahwin ini?*

Berdasarkan Islam, sepatutnya majlis perkahwinan ini dilakukan bertujuan:

Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan
anjuran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah,
sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga
para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan
mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin. Ia juga sebagai satu tanda
kesyukuran kepada Allah SWT kerana diberikan rahmatnya iaitu seorang
menantu dan tanda kesyukuran ini ialah dengan menjamu tetamu makan
terutama sekali yang miskin.

Islam mengajarkan umatnya untuk mendahulukan orang fakir miskin. Hal ini
dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari
bermaksud: “Seburuk-buruk makanan ialah makanan dari majlis kenduri
kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak
diundang untuk makan bersama.”

Pada masa kini, majlis perkahwinan diserikan lagi dengan berbagai
hiburan, hiburan di dalam Islam dibolehkan berdasarkan hadis riwayat
Bukhari daripada Aisyah r.ha bahawa seorang wanita berkahwin dengan
lelaki Ansar, maka baginda bersabda maksudnya : “Wahai Aisyah!
Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan.”

Dalam hadis yang bertaraf ‘hasan’ yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan
al-Tirmizi, baginda bersabda maksudnya :” Perbezaan antara yang halal
dan yang haram adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya
perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan.
Berbeza dengan perzinaan.”

Berdasarkan dalil-dalil ini, dapatlah diketahui bahawa Islam tidak
melarang bentuk hiburan. Hiburan dalam Islam dilihat sebagai suatu
keizinan untuk menenangkan diri dan menghiburkan hati yang
gundah-gulana. Hiburan yang tidak bertentangan dengan Islam adalah
alunan nasyid yang memuji kebesaran Allah SWT dan berbentuk doa dan
mempromosikan akhlak Islam. Hiburan yang berbentuk karaoke campuran
lelaki dan perempuan adalah dilarang.

Sahabat yang dimuliakan,
Islam menyarankan majlis kenduri kahwin (walimah) hendaklah diadakan
cara yang sederhana tetapi meriah. Tidak membebankan kedua-dua pihak
lelaki dan perempuan. Jika kurang berkemampuan adakan majlis yang
sederhana sahaja dan perlu mengundang saudara mara yang terdekat , jiran
tetangga dan sahabat-sahabat yang rapat sahaja. Tidak perlulah berhutang
dan bergolok bergadai semata-mata untuk mencari kemegahan dan riak
sedangkan cara seperti ini dilarang dan ditegah oleh agama.

Kenapa perkahwinan umat Islam sekarang ini tidak kekal dan berlaku
penceraian walaupun umur perkahwinan tidak sampai setahun? Sedangkan kos
perbelanjaan perkahwinan telah dihabiskan puluhan ribu ringgit. Puncanya
adalah tidak terdapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT kerana
terdapat banyak unsur maksiat dan dosa semasa dilangsungkan majlis
perkahwian tersebut. Oleh itu perlulah kita buangkan adat-adat melayu
lama yang bertentangan dengan syariat Islam seperti adat bersanding,
hiburan yang mendatangkan dosa dan mengelakkan pembaziran dengan
menyediakan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Majlis prkahwinan adalah ibadah, pastika kita tidak melaggar batas-batas
syarak yang di benarkan oleh Allah SWT.



*Hikmah mewar-warkan perkahwinan ialah :*

1) Menyampaikan berita itu kepada masyarakat sekeliling agar tidak
berlaku umpatan.

2) Menampakkan nikmat Allah S.W.T ke atas manusia dimana hubungan lelaki
dan perempuan yang pada asalnya adalah haram, telah dihalalkan. Begitu
juga menjadikan hukum halal kahwin dengan ibu bapa mertua pada asalnya,
telah bertukar haram hanya kerana disebabkan ikatan perkahwinan tersebut.



*Kesimpulan *

Mengadakan majlis walimatul urus yang dilingkungi sifat kesederhanaan
atau wasatiah, amat digalakkan malahan boleh menjadi suatu ibadah kepada
mereka yang menganjurkannya.

Perlu diberi perhatian bahawa dalam majlis perkahwinan yang terpenting
dan wajib ialah majlis ijab dan qobul. Manakala majlis walimatulurus itu
hukumnya adalah sunat muaqqad. Justeru, yang perlu diutamakan ialah yang
wajib. Bila sudah selesai yang wajib maka barulah buat perkara yang
sunat mengikut kadar kemampuan.

Jangan berbelanja besar dalam hal yang tidak wajib kerana ia adalah satu
pembaziran sedangkan membazir itu adalah saudara syaitan. Firman Allah SWT,

“Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir
adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu kufur terhadap
Tuhannya”. – (Al-Israa’: 26-27)

CyberMachine
10-10-2012, 08:01 PM
baru aku perasan info maskahwin sumbernya daripada jakim

AILA2002
10-10-2012, 08:02 PM
terimakasih atas pencerahan yg bernilai.....

ejalmlk
10-10-2012, 08:03 PM
tag dulu ...nak p meeting AMWAY jap ...balik nanti baca lagi penat nieee membaca ...Thank TT

traderfox
10-10-2012, 08:05 PM
Err...ada tak kengkawan sini yg ada any nombor pihak yang boleh anjurkan/ sediakan pakej lengkap majlis perkahwinan yg simple? Contohnya ada majlis nasyid/marhaban je + deejay dgn lagu2 ketuhanan or bacaan ayat2 suci..baju pengantin pun taknak yg pakai keris tengkolok apekebagai, yg pakai songkok@kopiah pun jadi..serta baju muslimah utk pengantin perempuan..dah puas carik tak jumpe.. taknak renjis2 dipilis dan takmo bersanding...nak buat preparation dari awal so bila sampai masanya nanti tak yah la pening2 lagi nak carik..thanks in advance ye rakan2...

Ps- jeles dgn sahabat2 yg belajar di luar negara yg majlis diorg sungguh simple...

Mizz Adilla
10-10-2012, 08:07 PM
Nice..thanks for sharing this good info..

traderfox
10-10-2012, 08:10 PM
Nice..thanks for sharing this good info..

sharing is caring...info for all friends especially for those that undergoing marriage planning and of coz to myself and our future generation insyaAllah.. :)

meijin
10-10-2012, 08:11 PM
nice info tt..nanti aku baca...:D

miskhi
10-10-2012, 08:15 PM
Belajar luar negara la camni...hehe

traderfox
10-10-2012, 08:20 PM
Belajar luar negara la camni...hehe

tu lah realitinya bro...contoh terdekat adik aku, kahwin di mesir dgn buat majlis makan2 dgn rakan2 sekuliah dan jiran aje.. Alhamdulillah sampai sekarang berbahagia dgn seorang anak...abg dia yang tersadai kat malaysia ni la yg kena layan permintaan FAMA yg dah terpengaruh dgn majlis n kenduri style kat sini...budget melampau2 dan bagi aku menyusahkan..sesuatu yg langsung tak sama dengan konsep Islam yg memudahkan..sebab tu aku cari kalau ada pihak yang sediakan perkhidmatan kahwin cara seperti yg diterangkan di atas..boleh aku buat presentation dpn orang tua aku :)cgrock

tokok_tambah
10-10-2012, 08:38 PM
Err...ada tak kengkawan sini yg ada any nombor pihak yang boleh anjurkan/ sediakan pakej lengkap majlis perkahwinan yg simple? Contohnya ada majlis nasyid/marhaban je + deejay dgn lagu2 ketuhanan or bacaan ayat2 suci..baju pengantin pun taknak yg pakai keris tengkolok apekebagai, yg pakai songkok@kopiah pun jadi..serta baju muslimah utk pengantin perempuan..dah puas carik tak jumpe.. taknak renjis2 dipilis dan takmo bersanding...nak buat preparation dari awal so bila sampai masanya nanti tak yah la pening2 lagi nak carik..thanks in advance ye rakan2...

Ps- jeles dgn sahabat2 yg belajar di luar negara yg majlis diorg sungguh simple...

member aku pakai baju raye je.. yang bini die pakai jubah muslimah.. nikah macam biasa pastu jemput makan..

taufic
10-10-2012, 09:43 PM
sama la jeles tgk member kawen kt jordan
akad dalam masjid pastu kat luar masjid hidang makan dgn member2
rasanya tak sampai 50 orang pon

traderfox
10-10-2012, 10:53 PM
sama la jeles tgk member kawen kt jordan
akad dalam masjid pastu kat luar masjid hidang makan dgn member2
rasanya tak sampai 50 orang pon

InsyaAllah semoga niat baik ni dipermudahkan dan diberkati..semuanya keranaNya :)

menchari
11-10-2012, 09:09 AM
terim kasih tt..
info yang sangat baik.

mcm aku ni lain..
nak majlis yang simple dan asalkan mengikut syarak..

tapi, ada pula orang ketiga (ahli keluarga) yang memandai2 aturkan.

traderfox
16-10-2012, 03:48 PM
sape ada pengalaman buat majlis mcm d dpn tu? share la ckit ye budget, persediaan dan penerimaan keluarga?

marlen
16-10-2012, 03:57 PM
best nya..:">

tp kalau sy nak buat kenduri meriah

br best..

JaweWetan
16-10-2012, 04:11 PM
pjgnye tt..:D senang je nak bidas klu org bg alasan "sekali je sumur hidup". sy akan ckp, "mati pon skali je sumur hidup"..he.heee.. ssh skang nak jumpe majlis yg ikut syariat walaupun kat kpg.ada pun sgt krg jike kluarge yg jnis islamik..

traderfox
19-10-2012, 10:35 PM
any ctc sape2 yang boleh organize majlis mcm yg disebut di 1st page? tq