BTC USD 84,405.9 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah - 25/11

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
UPACARA PELANCARAN PROJEK `MOTORISED LEVELLING’ YANG PERTAMA DI ASIA-Tarikh Peristiwa pada 25-11-1988

Pada hari ini dalam tahun 1988, Pelancaran projek ‘Motorised Levelling yang pertama di Asia telah dirasmikan oleh Y. Bhg. Datuk Hj. Zainal Abidin b. Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah. Pelancaran tersebut diadakan di perkarangan Ibu Pejabat, Jabatan Ukur dan Pemetaan. Projek yang menggunakan kaedah mengukur ketinggian aras di muka bumi dengan menggunakan kenderaan atau motorised ini merupakan yang terulung di negara Asia. Kaedah ini merupakan teknik yang termoden masa kini dalam penentuan ketinggian paramuka bumi dan telah banyak digunakan di dalam bidang ukur. Projek ini telah dikenal pasti oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan semenjak tahun 1986 lagi semasa Y.B. Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah Datuk Dr. Sulaiman Daud melawat Sweden. Kaedah pengukuran tanah dan muka bumi dengan motorised (kenderaan) ini telah menjimatkan masa dan kos perbelanjaan semasa menjalankan tugas-tugas tersebut. Kaedah ini bertepatan dengan hasrat dan dasar kerajaan untuk mengurangkan kos perbelanjaan. Sesungguhnya, kaedah baru tersebut merupakan satu nilai aras yang tepat dan jitu serta memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia dari segi pembangunan infrastruktur.
 
PENUBUHAN KURSI TUNKU ABDUL RAHMAN-Tarikh Peristiwa pada 25-11-1984

Pada hari ini dalam tahun 1984, Menteri Pelajaran, Datuk Abdullah Hj. Ahmad Badawi telah mengumumkan penubuhan ‘Kursi Tunku Abdul Rahman’ bagi Pengajian Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Malaya di Majlis Malam Yayasan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato’ Dr. Sulaiman Daud. Usaha penubuhan ‘Kursi Tunku Abdul Rahman’ telah bermula sejak tahun 1983 lagi oleh Yayasan Tunku Abdul Rahman sebagai hadiah kepada Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sempena ulang tahun kelahirannya yang ke – 80 pada 8 Februari 1983. Berikutan itu sejumlah $ 1 juta telah diserahkan kepada Universiti Malaya pada 5 Januari 1985 oleh Yayasan Tunku Abdul Rahman hasil kutipan derma dan sumbangan daripada pelbagai pihak iaitu kerajaan, swasta dan individu. Lanjutan pada itu juga pada bulan Jun 1985, Majlis Universiti Malaya telah melantik Profesor Ian Campbell MacGibbon sebagai pemegang pertama Kursi tersebut. Sesungguhnya, penubuhan kursi ini merupakan usaha untuk mengenang jasa bakti dan sumbangan Bapa Kemerdekaan negara.
 
PERASMIAN KHEMAH KERJA DI BAWAH PROJEK SEKOLAH-SEKOLAH BERSEKUTU UNESCO YANG PERTAMA DIADAKAN DI MALAYSIA-Tarikh Peristiwa pada 25-11-1980

Pembentukan Negara-negara ASEAN pada 1967 telah banyak membawa pertukaran di kalangan rakyat negara-negara anggota ASEAN. Pertukaran ini meliputi bidang ekonomi, politik dan sosial. Sebagai satu usaha memperkenalkan kebudayaan dan adat istiadat negara ASEAN satu khemah kerja telah diadakan kepada golongan pelajar dan guru di Malaysia pada 25 November 1980. Program di bawah Rancangan Projek-projek Sekolah UNESCO ini bertujuan memberi peluang rakyat Malaysia mendalami pengetahuan mereka berkenaan kebudayaan dan ciri-ciri hidup masyarakat di negara-negara ASEAN. Program pertama kali diadakan di Dewan Besar, Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai Kuala Lumpur.

Ianya dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Chan Siang Sun. Pelbagai kertas kerja telah dibentangkan daripada negara-negara anggota ASEAN bagi memberi gambaran yang lebih jelas berkaitan dengan ciri-ciri hidup masyarakat negara ASEAN. Selain daripada pembentangan kertas kerja, juga diadakan pameran berkaitan dengan kegiatan dan kebudayaan penduduk negara-negara ASEAN. Ini sudah pasti akan dapat menjelaskan lagi pembentangan fakta-fakta yang dikemukakan sebelum ini melalui kertas kerja. Program ini akan dapat mempermudahkan lagi bagi rakyat negara ini mengenai jiran mereka dan sekaligus akan dapat meningkatkan lagi semangat muhibbah negara-negara anggota ASEAN.
 
Back
Top
Log in Register